01 April 2020

DAH TAK LARAT BERLAKON - ROSLAN KINI BERNIAGA SAMBAL LADO


"Saya sakit sudah lama. Sebelum ini ada juga sesekali berlakon, tapi sejak usia makin meningkat dan keadaan kesihatan tak mengizinkan, saya memang tak larat nak kerja di lokasi penggambaran.

"Jadi, saya bersama isteri dengan dibantu anak-anak menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh dimasak sendiri.





"Alhamdulillah, sambutan dan permintaan diterima sangat baik daripada pelanggan. Biasanya, pelanggan akan telefon untuk tempahan," ujar pelakon veteran, Roslan Salleh, 63, yang kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

Dia yang kini kurang sihat sejak tiga tahun lalu sudah tidak berapa aktif dalam bidang lakonan. Katanya, dia bersyukur kerana perniagaannya tidak begitu terganggu walaupun ketika dalam tempoh PKP.

"Tak adalah rasa terganggu sangat sebab penjualan kini dibuat di rumah. Siapa nak beli, datang rumah atau mana pelanggan duduk berdekatan, saya akan hantarkan. Kalau dahulu, sebelum PKP ada juga saya buat jualan di luar.

"Kita sebagai hamba-Nya kena banyak berdoa dan tetap berusaha mencari rezeki," tambahnya.

Mengenai bantuan khusus untuk artis, Roslan berkata, jika ada artis yang rasa perlukan bantuan, mereka usah malu untuk isi borang.

"Bagi golongan penggiat seni, prinsipnya mudah iaitu kepada yang ada, yang mampu dan yang mewah bantulah pada mereka (rakan artis) memerlukan. Namun, buat mereka yang kurang, yang kurang mampu dan yang kurang mewah , jangan pula terlalu meminta-minta.

"Benda-benda ini (bantuan) kena ikhlas dan jujur. Pada yang ada tu baguslah, ganjaran besar kalau membantu. Bagi yang tiada, jangan suka meminta.

"Mereka sendiri yang memilih kerjaya sebagai artis. Jadi, sepatutnya sudah ada perancangan dan perkiraan sebelum membuat keputusan," jelasnya dipetik sebagai berkata.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: