12 April 2020

DIKECAM VIDEO DEMAM DATANG WAD KECEMASAN 2 PAGI - SHAHIR MINTA MAAF


Penyanyi Shahir Zawawi telah menerima kecaman netizen selepas tindakannya meluahkan perasaan menerusi video di laman sosial berkaitan layanan di sebuah hospital di percayai di Shah Alam. Penyanyi yang popular dengan lagu 'Kebahagian Dalam Perpisahan' ini dianggap melakukan kesalahan dengan membuat rakaman di tempat yang tidak dibenarkan.





Malah, aduannya terhadap hospital berkenaan dikatakan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya: "Penyalahgunaan jabatan kecemasan lagi sampai nak rekod video. Demam biasa banyak klinik berdekatan boleh pergi.

"Kalau dah tiga hari demam kenapa datang hospital pagi-pagi buta? Kata sakit, tapi masih boleh jalan dan dan bercakap! Anda sebagai public figure haruslah menunjukkan contoh yang baik," komen netizen di Twitter.

Menerusi video berkenaan Shahir memberitahu dia ke hospital berkenaan pada pukul 1.50 pagi selepas mengalami demam selama tiga hari. Bagaimanapun, seorang petugas memintanya pulang dan menasihatkan supaya pergi ke klinik kesihatan pada siang hari.

"Saya bertanggungjawab datang seorang diri dari rumah sebab saya sudah tak tahan demam sudah tiga hari. Kalau bukan kecemasan saya takkan datang... sepanjang perjalanan saya hampir muntah, nak pitam dan hampir kemalangan. Saya datang sebab saya betul-betul sakit.

"Kalau demam... itukan simptom Covid-19, saya duduk sendirian kalau apa-apa jadi saya tak sedarkan diri siapa yang tolong?" kata Shahir menerusi rakaman video yang kini tular di laman Youtube dan Twitter pada Sabtu.

Klik untuk gambar besar


Mengulas mengenai situasi sebenar dirinya, Shahir terlebih dahulu mendapatkan bekalan ubat dari farmasi ekoran kesihatannya merosot: "Saya sebenarnya sudah 2 hari demam, makan enam biji Panadol Actifast dan 3 biji ibuprofen. Malam ini saya rasa badan terlalu panas dan tak boleh tidur, jadi saya paksa diri keluar sebab saya takut tak sedar esok.

"Saya tak diizinkan langsung jumpa doktor. Saya datang sebab betul-betul sakit. Saya datang serah diri, tak boleh ke tolong periksa saya? Takkan tak ada sedikit tolak ansur, jadi saya minta tolonglah ambil berat kepada insan yang memerlukan," rayunya.

Dalam video tersebut, Shahir dilihat berada di perkarangan unit kecemasan dan diarahkan pulang ke rumah oleh seorang petugas yang turut melarangnya membuat sebarang rakaman video. Sementara itu, Shahir berkata perkongsiannya ini bukan berniat untuk memburukkan mana-mana pihak. Dia juga meminta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan apa yang dilakukannya itu.

"Minta maaf saya tak nak burukkan sesiapa tapi saya kecewa dengn layanan sebegini. Saya tak nak datang jumpa orang depan suruh balik. Saya minta tolonglah... Saya tak tahu apa masalah dia. Saya nak kena rekod untuk bukti. Kalau saya seorang kena macam ni saya takut orang lain pun kena sama.

"Saya minta maaf terlebih dahulu kalau ada yang tersinggung, apa saya buat bukan nak cari publisiti. Saya terpanggil buat sebab takut ramai lagi di luar sana perlukan bantuan perubatan tetapi dilayan sebegini," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Astro Gempak & Instagram Shahir Zawawi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: