21 April 2020

RAJA SYAHIRAN & SKUAD SIAP 50,000 UNIT, SASAR 100,000 UNIT PELINDUNG MUKA


Demi memastikan keperluan petugas barisan hadapan dan golongan memerlukan tidak terabai, ramai selebriti tampil menghulur bantuan mengikut pengaruh dan kemampuan mereka. Antara bakat baharu yang tidak bertangguh mengambil inisiatif adalah penyanyi Raja Syahiran yang sudah menyiapkan 50,000 unit pelindung muka yang diagihkan kepada hospital.





Sudah mencapai 50 peratus daripada sasaran, Raja Syahiran yang juga bekas peserta program realiti 'Dansa Dan Sing' memberitahu, sumbangan diserahkan ke hospital di Semenanjung Malaysia, setakat ini. Kongsi Raja Syahiran atau nama penuhnya, Raja Syahiran Raja Azhanrianshah, 27, idea menghasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan bermula secara tidak sengaja.

"Sejak minggu awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, keluarga saya menyediakan makanan untuk pekerja barisan hadapan terutama yang menjaga sekatan jalan raya dan pekerja tol di Subang. Ibu saya yang menjadi tukang masak. Cuma ketika itu, niat kami hanya membantu dan tidak berkongsi di media sosial.

"Pada masa sama, sepupu saya yang bekerja sebagai doktor, mula bercerita mereka susah hati kerana bekalan pakaian perlindungan diri (PPE) tidak cukup. Daripada situ, saya dan saudara mara cuba mencari idea membantu," tutur jejaka berasal dari Subang Jaya itu.

Klik untuk gambar besar


Raja Syahiran yang berkebolehan melakukan beatbox berkata, dia dan keluarga akhirnya sepakat menyediakan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan: "Pada mulanya, saya memilih melakukan kitar semula bahan props yang digunakan ketika pertandingan 'Dansa Dan Sing' seperti getah dan span untuk menghasilkan pelindung muka.

"Ketika itu, niat awal hendak memberinya kepada sepupu yang juga doktor itu dan teman-temannya di Hospital Selayang. Buat permulaan, saya dibantu ibu saudara dan sanak-saudara lain. Kami berjaya sediakan 100 unit pelindung muka.

"Daripada seratus meningkat menjadi ribuan kerana mahu diagihkan di hospital di seluruh negara. Bermula daripada situ, saya berkongsi di Instagram (IG) mengharapkan bantuan sukarelawan menjayakan misi menyediakan pelindung muka ini," ujarnya.



Mendapat reaksi positif, pelbagai pihak sudi menghulurkan tangan untuk membantu: "Ada antara kumpulan sukarelawan itu adalah guru kurang upaya. Saya mendapat beratus sukarelawan teman artis seperti Uyaina Arshad," jelasnya.

Penyanyi 'It's A Trap' itu berkata, usaha murni itu lebih lancar apabila pengurusan Hospital Selayang memberi sokongan kepada mereka untuk melaksanakan projek itu: "Selain Hospital Selayang, misi ini mendapat bantuan Syarikat Umrah Eco dan Petron.

"Petron contohnya menyumbang peralatan dan material untuk menyiapkan pelindung muka. Kami sasarkan setiap negeri akan mendapat bekalan pelindung muka. Ini kerana sukarelawan terbabit berada di serata negeri," katanya.












www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Raja Syahiran


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: