04 May 2020

ASRUL AMBIA: "JURURAWAT TIDAK PASTI SAYA ADA HARAPAN ATAU TIDAK"


Jurukamera Asrul Ambia Ahmad yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dijangkiti Covid-19 pada 31 Mac lalu itu sudah dibenarkan keluar dari hospital pada 26 April lalu dan kini menjalani kuarantin di rumahnya. Ketika di ICU, dia hanya sedar selepas 10 hari dimasukkan di situ.





Ambia berkata, jururawat berbangsa India itu memaklumkan kepadanya ketika dia dibenarkan keluar dari ICU: "Ketika dibawa ke hospital, jururawat yang memasukkan tiub ke dalam badan saya tidak pasti saya ada harapan atau tidak. Ketika saya mula-mula ditempatkan di ICU, dia sedih melihat keadaan saya. Apabila dia lihat saya sudah sedar dan bangun, itulah kebahagiaan dirasakannya," jelasnya.

Ambia berkata, dia amat berterima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang merawat dan menjaganya sepanjang dia di hospital berkenaan: "Terima kasih dan tunduk hormat kepada mereka. Anda semua adalah hero saya," tuturnya.

Ambia berkata, dia juga berterima kasih kepada isteri, Nurshazreen Zulkefli, rakan dan semua orang yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya termasuk memberi kata-kata semangat untuk sihat semula. Ambia turut berdoa kepada Allah supaya melimpahkan rezeki dan mempermudahkan segala urusan petugas barisan hadapan negara dalam usaha memerangi penularan pandemik Covid-19.

"Buat jururawat dan doktor di ICU, masa dalam tidur saya yang amat-amat memenatkan selama 16 hari. Maaf, terima kasih dan tunduk hormat daripada saya kerana sabar, dedikasi anda semua merawat, melayan kerenah, kencing berak dan amukan saya," katanya.

Ambia dimasukkan ke HSB sejurus tiba di tanah air sekembalinya dari menjalani penggambaran drama 'Demi' di Inverness, Scotland, 31 Mac lalu. Bapa kepada dua anak berusia empat dan dua tahun ini hanya mula sedarkan diri pada 9 April lalu, namun ketika itu paru-parunya masih lemah.

Selain Ambia, empat kru lain termasuk pengarah, tiga pelakon dan ibu pelakon kanak-kanak yang terbabit dalam penggambaran drama itu disahkan positif Covid-19. Mereka berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 di negara ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bermula 18 Mac lalu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: