20 May 2020

"HILANG RASA HORMAT... BERAPA RAMAI LAGI AKAN JADI MANGSA" - ALOY PARADOKS


"Perbuatan Kak Ogy benar-benar melukakan hati saya. Hilang rasa hormat saya kepada beliau sekaligus membuatkan saya terfikir, Oh Demi Tuhan Sandiwara, dia rupanya memang benar seorang pelakon yang sangat-sangat luar biasa hebat. Pernahkah saya lambat dibayar untuk kerja-kerja saya sebelum ini? Pernah. Namun mengapa saya diam? Jawapannya ialah kerana saya masih boleh nampak wujudnya sinar.





"Namun yang ini, semakin hari sinar itu makin kelam, lama-lama menghilang. Keegoan Kak Ogy tiada batasnya, lihatlah betapa bangganya dia dengan 30 peratus yang sudah dibayar kepada saya sebagai deposit dulu. Jumlah itu dibahagi dua dengan penulis bersama, saya bayar sewa rumah, beli barang dapur sudah habis.

"Selepas itu kami berhibernasi tolak projek lain, tulis teater ini sampai siap," tutur penulis skrip teater komedi 'Korupsi Dewan Semandung', Aloy Paradoks yang mengakui sudah hilang rasa hormat terhadap pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy berhubung kemelut pembayaran baki tertunggak untuk projek terbabit.

Menurut Aloy, keputusannya untuk bersuara mengenai perkara itu disebabkan sudah putus harapan mengenai baki 70 peratus bayaran yang belum diperolehi. Aloy berkata, dia ada sebab untuk mendesak dan menjadi orang pertama bersuara mengenai kemelut berkenaan baru-baru ini.

"Saudara, kenapa saya bertindak menghebahkan hal ini malah menjadi orang yang pertama? Ini kerana ketika itu keadaan saya begitu mendesak dari segi kewangan. Kerja sudah lama selesai, tawaran sudah beberapa ditolak.

"Isteri saya suri rumah sepenuh masa, kerana sewaktu anak kami lahir, ditakdirkan anak kami mengalami sawan tangis. Isteri berhenti kerja dan jaga anak adalah solusi terbaik. Dalam masa sama saya perlu mengirim wang kepada ibu saya yang sudah uzur di kampung dan ibu mentua," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Jauh di sudut hati, Aloy juga sebenarnya berharap dia menjadi orang pertama yang didahulukan untuk dilunaskan bayarannya apatah lagi kerjanya paling awal disiapkan: "Tambah-tambah mengenangkan sayalah orang pertama yang selesai kerja dahulu. Jadi pasti saya akan mendapat bayaran paling ke hadapan. Itu jangkaan saya namun saya terlalu bercita-cita tinggi nampaknya.

"Saya terlupa, sayalah juga orang pertama yang bersuara secara umum. Mungkin boleh jadi, inilah hukuman untuk saya dan keluarga. Namun syukur, ada enam orang sudah dibayar, iaitu selepas isu ini kecoh. Persoalannya, jika tak kecoh tempoh hari, akan adakah orang yang akan dibayar? Sebab sudah kecoh pun baru hanya enam orang dibayar kan? Selepas ini, bagaimana pulalah nasib kami yang lain?" ujarnya.

Aloy menambah tujuan dia bersuara bukan sekadar untuk kepentingan peribadi sebaliknya dia tidak mahu penggiat seni lain menjadi mangsa isu sebegini lagi: "Sekarang saya tidak lagi melihat isu ini sebagai isu peribadi saya sahaja. Ini adalah isu industri, isu kawan-kawan penggiat seni yang lain.

"Jika benar (saya tak pasti) ini bukan kali pertama Kak Ogy berbuat begini, berapa ramai lagi akan menjadi mangsa? Berapa ramai lagi kawan-kawan saya akan kecewa dalam bidang ini? Jujur dari sudut hati saya paling dalam, saya tak mahu kawan-kawan penggiat seni yang lain menerima nasib yang sama.

"Saya akan terus bersuara walaupun mungkin suara saya, pada suatu tahap tidak akan ada siapa yang peduli lagi nanti. Siapa lagi saya nak harapkan? Bukan semua orang berani nak lawan Kak Ogy," katanya.

Terdahulu, Kak Ogy memaklumkan dia sudah membuat pembayaran kepada enam individu terbabit dalam teater terbabit. Ia dibuat hasil daripada pendapatan kempen jualan pes karinya. Pelakon dan penerbit itu juga mengakui masih belum melunaskan bayaran kepada ramai yang lain. Dia berjanji untuk berusaha mendapatkan dana bagi pembayaran itu memandangkan Aidilfitri kian menjelang.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: