10 May 2020

"JANGAN GUNA HARTA PENINGGALAN BUAT KAHWIN LAIN" - SHAHORA SEMAKIN PULIH


Pelakon Sharifah Shahora, 45, baru-baru ini telah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian rahim dan uterus selepas mengalami sakit perut berpanjangan. Secara kebetulan, penerbit Eleven Field Creative Sdn Bhd melakukan pembedahan pada tarikh yang sama dengan pelawak dan pelakon Syanie Hisham di sebuah hospital swasta pada 29 April lalu.





Pada saat bergelut menempuh kesakitan, isteri pengarah filem, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin ini masih sempat berseloroh mengenai harta peninggalan jika sesuatu terjadi kepadanya: "Entahlah, nak kata lawak atau tak, saya tak pasti. Soal harta peninggalan saya memang ada berpesan. Saya tak tahu, ajal dan maut, semuanya ketentuan Allah.

"Duit simpanan atau apa sekalipun selama ini menjadi rahsia saya, suami pun tak tahu. Saya juga berpesan pada suami, jangan menggunakan harta peninggalan buat kahwin lain. Ini kerana harta yang ditinggalkan untuk anak-anak. Suami hanya mengangguk. Saya yakin suami tak mahu kehilangan saya dalam masa terdekat. Alhamdulillah, saya masih panjang umur," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Bercerita keadaannya selepas melakukan pembedahan, pelakon 'Ophilia' dan 'Girlfriend Aku Dari Neraka' itu berkata, kesihatannya kini beransur pulih: "Semuanya berlaku tanpa diduga. Saya sakit perut berpanjangan sejak hujung bulan lalu.

"Saya nak buat kerja pun tak larat. Kemudiannya, saya ke klinik untuk melakukan pemeriksaan. Doktor menyarankan saya melakukan pembedahan segera, jadi saya tidak melengahkan lagi. Pembedahan mengambil tempoh masa dalam lebih empat jam.

"Lucunya, sebelum pembedahan saya sempat berpesan kepada doktor jangan lupa kikis lemak jika ada. Selepas itu, saya sudah tidak sedarkan diri akibat dibius. Syukur, pembedahan berjalan lancar. Saya memilih tidak membuang rahim. Ini kerana saya masih menyimpan hasrat mahu hamil," tuturnya.



Shahora menasihatkan, jangan menangguh melakukan pembedahan sekiranya sakit pada bahagian mana sekalipun: "Jangan takut mahu membuang ketumbuhan. Jika dibiar akan diberi kesan bukan pada perut, tetapi pinggang, urat dan seluruh badan.

"Saya pernah mencuba rawatan tradisional dan sakit makin berkurangan. Namun, kerana tidak menjaga pantang dan makan apa sahaja, ketumbuhan makin membesar. Akhirnya kena buat pembedahan juga," jelas Shahora.

Pelakon kelahiran Pahang itu mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang menyelamatkan nyawanya: "Begitu juga suami dan anak, mereka tidak meninggalkan saya ketika sakit. Adik beradik sentiasa membuat panggilan video untuk mengetahui perkembangan kesihatan saya. Sekarang, saya makin sihat. Kalau ikut cara orang lama, saya kena berpantang selama 40 hari," katanya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Sharifah Shahora & Raja Mukhriz


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: