10 May 2020

BANTU ANAK YATIM & KELUARGA MEMERLUKAN - AWI BUKA STUDIO TERAPI MUZIK UNTUK AUSTIME


Selepas kerjaya seni tertangguh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi dan komposer, Awi Rafael, 34, memilih mengisi waktu senggang dengan menyertai aktiviti kebajikan. Sepanjang Ramadan, penyanyi kelahiran Singapura itu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), My Fund Action dalam merealisasikan usaha murni membantu mereka yang memerlukan.





Awi berkata, dia menghantar juadah berbuka puasa kepada anak yatim dan barangan keperluan asas buat keluarga yang memerlukan: "Ia nyata membuka mata saya untuk menghargai apa yang dimiliki. Pengalaman mengikut rombongan My Fund Action mengedar pek makanan dan barangan keperluan asas sekitar Lembah Klang memberi peluang kepada saya melihat depan mata penderitaan dilalui mereka yang kurang bernasib baik.

"Saya tak boleh lupa kunjungan ke rumah yang didiami tiga keluarga. Mereka hidup berhimpit dalam rumah kecil. Begitu juga salah seorang penerima yang dikunjungi berada dalam serba kekurangan bersama ahli keluarga sakit. Ia memberikan keinsafan pada diri.

"Hati sayu dan sebak melihat senyuman terukir penghuni rumah anak yatim ketika saya serta wakil syarikat rakaman, Warner Music menghantar makanan segera. Pengalaman ini membuka mata, betapa saya harus bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang dimiliki," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael berkata, usaha membantu mereka yang memerlukan bukanlah kegiatan baharu yang dilakukan: "Selepas hasrat mendirikan rumah tangga tidak kesampaian, saya nekad membuka studio terapi muzik yang khusus membantu kanak-kanak autisme dan keperluan khas di bawah program Music Spectrum, sejak tahun lalu.

"Bagaimanapun, saya terpaksa menangguhkan operasi studio berikutan tempoh PKP. Namun, usaha saya mendidik kanak-kanak khas menerusi muzik berjaya mendapat perhatian Fakulti Muzik dan Fakulti Psikologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mewujudkan satu silibus khas untuk anak-anak autisme.

"Alhamdulillah, saya akan bergabung dengan UiTM Shah Alam untuk mengembangkan usaha dalam memperkenalkan terapi melalui muzik menjadi satu silibus. Sepatutnya ia sudah dimulakan, tetapi kami terpaksa menangguhkannya itu disebabkan tempoh PKP. Insya-Allah, kami akan meneruskan kerjasama ini apabila tempoh PKP tamat," jelas lulusan Ijazah Pengurusan Undang-Undang dan Psikologi itu.



Mengulas kerjaya seni, Awi berkata, tempoh PKP menimbulkan kerisauan mengenai kerjaya muziknya. Bagaimanapun, ia tidak lagi difikirkan selepas hampir dua bulan menempuh ujian di sebalik wabak COVID-19. Katanya, dia hanya mahu memberikan fokus kepada studio dan kerja menghasilkan lagu untuk penyanyi lain. Disebabkan tiada undangan persembahan, fokusnya kini lebih tertumpu kepada kandungan digital.

"Semua lapisan masyarakat terkesan akibat wabak COVID-19. Tak kira artis, ahli perniagaan atau sesiapa sahaja. Kita perlu membiasakan diri dengan norma baru kerana virus ini tidak mungkin berjaya dihapuskan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

"Kita sendiri sudah dimaklumkan COVID-19 tak berjaya dihapuskan dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Oleh itu, saya perlu berfikir di luar kotak dari sudut pemasaran. Salah satunya dengan memanfaatkan platform digital. Tempoh PKP memberi peluang kepada saya membetulkan diri termasuk dari sudut hasil karya. Saya mahu mengeluarkan produk bermutu," ujarnya.

Awi berkata, dia akan muncul dengan single terbaharu berkolaborasi dengan vokalis kumpulan alternatif rock Amerika Syarikat, Dishwalla iaitu JR Richards berjudul Angels or Devils, tidak lama lagi: "Lagu ini cukup istimewa kerana ditujukan khas buat masyarakat ketika melalui fasa sukar ini," kata Awi.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Awi Rafael


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: