11 May 2020

DULU PEMAIN BOLA PRO, KINI PEMANDU LORI


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu!

Demikianlah halnya dengan bekas penyerang Terengganu, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi yang nekad untuk menggantung but pada musim ini walaupun masih mendapat tawaran beraksi.

Mohd Khairul Ramadhan adalah pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM 2018 ketika mewakili Terengganu City FC (TCFC) bersara awal disebabkan beberapa faktor termasuk tunggakan gajinya bersama pasukan TCFC.





Dia kini akhirnya memilih kerjaya sebagai pemandu lori bagi mengangkut buah kelapa sawit di sekitar kampungnya di Setiu serta Jerteh dan Kuala Berang.

"Sepatutnya saya beraksi dengan sebuah pasukan daripada Liga M3 musim ini, semua proses sudah selesai tapi pada saat akhir sebelum menandatangani kontrak, saya mengambil keputusan untuk gantung but.

"Keputusan ini memang berat apatah lagi kerjaya bola sepak ini adalah periuk nasi saya untuk menyara keluarga, lebih-lebih lagi ketika itu Isteri, Mawardah Khalid sedang mengandung anak kedua.

"Namun disebabkan kecewa dengan bekas majikan yang sehingga kini belum lagi melunaskan tunggakan gaji sejak 2018 selain tidak dapat merasai nikmat sebenar sebagai juara Piala FAM kerana juga belum dapat bonus kemenangan, saya tiada pilihan melainkan nekad untuk bersara pada tahun 2020 ini.

"Kini dengan pekerjaan baharu sebagai pemandu lori walaupun agak janggal menceburi bidang ini, tapi sekurang-kurangnya saya lega kerana bekerja sendiri, lagipun lori berkenaan hak milik saya.

"Saya mula melakukan pekerjaan ini sejak dua minggu sebelum ketibaan Ramadan dan kerja ini bergantung kepada jumlah buah kelapa sawit, adakalanya lima kali seminggu angkut buah," ujar Ramadhan dipetik sebagai berkata.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: