12 May 2020

JUREY LATIFF: "BUKAN PERGI SUKA RIA... TAPI NAK CARI REZEKI"


Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya akan membuat permohonan sekali lagi bersama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Dokumentari Malaysia (MYdoc) dan Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) Khamis ini selepas permohonan pertama pada 30 April lalu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak kerajaan.





Menurut Jurey, keputusan itu dibuat berdasarkan suara majoriti ahli yang berasakan industri penerbitan filem dan drama juga perlu diberi kelonggaran untuk beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei lalu.

"Kalau sektor lain dibenarkan beroperasi, jadi tidak salah penggambaran boleh dilakukan. Syarikat produksi juga akan patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Permohonan pertama untuk membenarkan penggambaran sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 30 April lalu.

"Namun, sampai sekarang tidak ada jawapan. Namun, apabila PKPB dilaksanakan sekali lagi industri kreatif masih tidak dibenarkan beroperasi. Tapi, kami berasakan perkara ini masih boleh diberi pertimbangan. Disebabkan itu, kebanyakan persatuan sudah suarakan agar membuat permohonan bagi memberi kebenaran menjalani penggambaran dengan SOP ditetapkan.

"Ingin dijelaskan, surat ini bukan untuk memohon bantuan, tapi meminta kebenaran untuk bekerja bagi mendapatkan sumber pendapatan. Ramai pekerja belakang tabir iaitu kru yang terbabit termasuk penggiat seni yang terjejas," katanya kepada Harian Metro.

Jurey berkata, permohonan itu juga bukan bertujuan bersuka ria, pentingkan diri atau sengaja dibuat: "Sebagai contoh, sekarang kerajaan membenarkan operasi pusat beli belah dan orang ramai pun pergi. Jadi, permohonan kami ini pun bukan nak pergi bersuka ria atau sengaja nak minta dibenarkan bekerja. Tapi nak cari rezeki macam industri lain. Penggiat seni juga perlu bertahan.

"Kalau industri lain boleh ikut SOP, kami boleh juga. Apa yang orang lain buat, kami boleh buat juga. Paling penting kami nak kerja dan ada duit. Kalau pelakon bersuara mungkin masih ada yang mendengar berbanding kru, siapa nak dengar mereka?" ujarnya.

Menurut Jurey, pihaknya juga menggariskan beberapa SOP yang bakal dilaksanakan sekiranya diberi kebenaran menjalani penggambaran. Antara SOP itu adalah pelakon perlu membawa peralatan dan mekap sendiri, menjaga kebersihan lokasi penggambaran, penjarakan sosial membabitkan babak, tiada babak membabitkan ramai pelakon dan banyak lagi.

"Kebiasaannya untuk penggambaran dalam produksi itu membabitkan 20 orang. Kalau lebih, kita akan hadkan. Macam pelakon tidak semestinya terbabit serentak. Semua ini boleh dilakukan berdasarkan kreativiti tapi masih mengikut SOP. Kalau ada babak bersentuhan atau dekat, pengarah harus lebih tahu untuk ubah," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: