23 May 2020

PERTAMA KALI RAYA SEBAGAI SUAMI - ZAMANI BATAL HASRAT SAMBUT DI KAMPUNG ISTERI


Penyanyi Zamani yang selamat bergelar suami kepada Nur Juliana Abdul Rani pada 20 September tahun lalu itu mahu merasai kemanisan meraikan Aidilfitri buat kali pertama di kampung isterinya itu di pantai timur. Bagaimanapun, semua perancangan tidak menjadi kenyataan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan membuatkan dia memilih untuk beraya di ibu kota.





"Perancangan awalnya memang begitu kerana rasanya nak juga berkenalan dengan saudara-mara isteri. Namun, dengan adanya PKP semua dibatalkan dan kena beraya di rumah sendiri sahaja. Saya pun susah nak bergerak ke mana-mana kerana keadaan kesihatan pun tak mengizinkan. Sakit tulang belakang saya pula semakin serius," jelasnya.

Zamani berkata, dia mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan untuk bertandang di rumahnya, tetapi perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan berlakunya masalah: "Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Apapun Aidilfitri tetap perlu diraikan selepas sebulan kita berpuasa menahan lapar dan dahaga. Saya teruja dapat meraikannya buat kali pertama bersama isteri," ujarnya.

'Syawal Ini' buah tangan terbaharu Zamani. Cukup istimewa apabila Zamani kini tampil dengan single raya terbaru berjudul Syawal Ini. Lagu ciptaan Neo dan terbitan Bajai ini dihasilkan dengan kerjasama syarikat gergasi KRU Music.

"Kerjasama kami sebenarnya bermula dari pembabitan saya dalam KL Jamm anjuran mereka pada April tahun lalu. Datuk Norman Abd Halim seterusnya cadangkan usul untuk menghasilkan sebuah lagu baru untuk saya. Dalam keadaan pandemik Covid-19, beliau tukar kepada lagu raya, tapi kita berdepan dengan PKP pula," katanya.

Menurutnya, lagu ini dicipta pada Februari lalu, namun proses rakaman lambat dilakukan kerana PKP: "Ia dirakam pada 4 Mei lalu selepas PKP digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Segalanya dibuat ikut prosedur.

"Lagu ini antara yang cepat dirakam apabila ambil masa sekitar 20 minit sahaja untuk disiapkan. Banyak perancangan yang sepatutnya dibuat untuk lagu ini, namun terpaksa diubah. Ia perlu dikeluarkan sebelum tiba Aidilfitri," katanya.

Menurutnya, 'Syawal Ini' adalah lagu raya ketiganya selepas 'Suasana Hari Raya' dan 'Takbir Memecah Hening': "Ia selepas 18 tahun saya menghasilkan lagu Takbir Memecah Hening. Ini adalah projek khas saya dengan KRU Music.

"Satu kebanggaan buat saya apabila dapat bekerjasama dengan mereka. Senang dari segi promosi kerana KRU mempunyai pasukan yang lengkap. Lagu ini menyentuh perasaan saya sendiri kerana liriknya mencerminkan kisah kehidupan saya apatah lagi mengenang arwah ibu dan bapa saya yang sudah pergi," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: