29 May 2020

RINDU TIGA ANAK - HASRAT VICHA BAWA KE MALAYSIA BERDEPAN KESUKARAN


Pelawak, pengacara dan pelakon, Vicha, 32, yang berjauhan dengan anak dan keluarga bukanlah keputusan mudah dan dia tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya bersyukur rezekinya di perantauan melimpah ruah. Kerjaya seni kini semakin stabil. Katanya, dia menyimpan angan-angan mahu membawa anak tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, ia berdepan dengan kesukaran kerana syarat persekolahan agak ketat.





"Saya berhasrat menghantar anak ke sekolah Indonesia di sini, tetapi peraturan agak ketat. Permit kerja perlu diperbaharui setiap setahun, tetapi sekolah memerlukan permit untuk lima tahun. Jadi, saya sukar mendaftar anak ke sekolah.

"Ada rakan mencadangkan saya menghantar anak ke sekolah antarabangsa, tetapi saya bimbang anak tidak boleh menyesuaikan diri kerana mereka fasih berbahasa Indonesia sahaja. Oleh itu, keinginan membawa mereka terpaksa ditangguhkan lagi.

"Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa, saya akan pastikan dapat bawa mereka, suatu hari nanti. Kalau boleh saya mahu mereka mengikuti kuliah di Malaysia selepas tamat persekolahan," jelasnya,

Katanya, perkara paling menyedihkan apabila terlepas peluang melihat anak membesar depan mata: "Boleh dikatakan saya dan anak berhubung menerusi panggilan video setiap hari, tetapi perasaan tidak sama melihat mereka depan mata. Ada masanya, hati sebak melihat anak makin membesar, saya pula banyak terlepas momen penting dalam hidup.

Klik untuk gambar besar


"Paling terasa saya tidak dapat bersama mereka setiap hari seperti ibu lain. Bagaimanapun, apa yang dilakukan untuk mereka juga. Insya Allah, saya berdoa supaya kami dapat hidup bersama seperti keluarga lain," tuturnya.

Menyambut Syawal di Kuala Lumpur menyelitkan hikmah tersembunyi buat Vicha selepas sembilan tahun merantau mencari rezeki. Inilah kali pertama dalam hidup Vicha atau nama sebenarnya, Refika Novianti Faturohman tidak dapat pulang ke Bandung, Indonesia meraikan Syawal bersama ibu dan tiga cahaya matanya berikutan wabak COVID-19.

Angkara pandemik itu, sudah lima bulan Vicha tidak bertemu tiga permata hati yang dijaga ibunya di kampung halaman. Hanya panggilan video menjadi pengganti diri melepaskan kerinduan. Sedih, tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila terlalu rindukan anaknya.

Namun, manisnya, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjaya mengeratkan hubungan anggota kumpulan Saywho itu dengan jiran tetangganya: "Saya hanya melemparkan senyuman setiap kali terserempak dengan jiran tetangga, selama ini.



Bagaimanapun, ada jiran bertanya menerusi aplikasi WhatsApp kejiranan sekiranya saya mahu menyertai aktiviti gotong royong membakar lemang beberapa hari sebelum Syawal. Jadi, saya menyatakan persetujuan menyertai mereka.

"Oleh kerana rumah paling hujung, jadi saya cadangkan aktiviti membakar lemang dilakukan di persekitaran rumah saya. Seronok melakukan aktiviti bersama jiran tetangga. Selain merapatkan silaturahim dan mengenali mereka lebih erat, terasa hidup bermasyarakat," katanya.

Pelakon filem 'Isteri Untuk Dijual' dan 'Kolestrol vs Cinta' itu berkata, dia dan jiran tetangga saling mengunjung pada hari raya pertama: "Selama ini, saya takut mahu bertegur sapa kerana tidak mengenali. Jiran tetangga baik-baik dan mengambil berat.

"Tak sangka, selepas dua tahun barulah saya mengenali jiran dengan lebih rapat. Nyata, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik saya tidak dapat pulang berhari raya. Sekurang-kurangnya, saya tidaklah kesunyian apabila menyambut Syawal berjauhan dengan ibu dan anak," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Vicha


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: