12 May 2020

SIMPATI NASIB AHLINYA - FDAM RAYU BENARKAN PENGGAMBARAN


Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London menerusi laman Facebook (FB) miliknya telah memohon agar kerajaan meluluskan permohonan untuk penggiat seni kembali bekerja. Untuk makluman, FDAM yang ditubuhkan pada 1990 kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli.





Hantaran berkenaan ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara susulan kelonggaran diberi kepada beberapa sektor industri untuk beroperasi semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei lalu.

Kata Ahmad, pihaknya dan penggiat seni lain bersetuju untuk mematuhi syarat Standard of Procedure (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB): "Salam Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara.

Klik untuk gambar besar


"Kami penggiat seni nak 'shooting', minggu ini. Kami bersedia dan akur pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada. Mohon kelulusan. Penggambaran dalam bangunan dengan jumlah kru produksi kurang daripada lima orang patut dibenarkan. Dalam shooting bukan soal sentuh atau tidak, soalnya kawalan kesihatan dan keselamatan diri.

"Produksi filem dan televisyen agak sukar nak kawal penggambaran berskala besar, walaupun ada kawalan serta pemantauan rapi. Kerja shooting tak sama dengan supermarket atau stesen bas dan LRT" tambahnya," katanya.

Ahmad berkata, anggaran 50 syarikat penerbitan mengemukakan permohonan penggambaran filem, iklan dan program televisyen setiap bulan, sebelum PKP dikuat kuasa: "Syarikat penerbitan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa menangguhkan kerja penerbitan berikutan tempoh PKP dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan pekerja termasuk ahli FDAM yang kebanyakannya pengarah sambilan tanpa pendapatan tetap," katanya.



Katanya, FDAM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah melancarkan tabung bantuan bagi meringankan beban ahli, baru-baru ini: "FDAM sentiasa menerima maklum balas dan keluhan ahli yang tidak dapat meneruskan tugas dan menjejaskan mata pencarian mereka.

"Malah, ada antara mereka terpaksa membuat kerja lain seperti jualan makanan dalam talian untuk menampung hidup. Hampir 100 ahli kami yang kritikal menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM200 seorang," katanya.

Permohonan itu bagi mewakili suara ramai anak seni yang berdepan krisis kewangan ekoran pandemik Covid-19: "Hari Raya dah hampir tiba. Datanglah ke rumah kami lihat anak-anak kami, tengoklah dapur kami. Fahamilah kami. Saya sangat simpati dan tolong suarakan hasrat dan gelisah anak seni," kata Ahmad lagi.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Astro Gempak & Instagram Alyah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: