12 May 2020

DEMI LUNASKAN HUTANG, OGY BERNIAGA PES KARI: "ALLAH AKAN PERMUDAHKAN JALAN..."



Sebelum ini dunia hiburan kecoh apabila barisan pelakon dan staf teater 'Korupsi Dewan Semandung' mendedahkan bahawa penerbit teater tersebut, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy telah sekian lama tidak membayar mereka.



Isu bayaran tertunggak tercetus apabila salah seorang pelakon teater 'Korupsi Dewan Semandung', Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Dalam laporan itu, Che Mat mendakwa Syarikat Ogy Ventures & Network gagal melunaskan baki bayaran pelakon teater itu yang dipentaskan di Istana Budaya di sini, akhir Februari lalu.

Selain Che Mat, teater arahan Khir Rahman itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero. Kerana tidak mahu lagi bertangguh dalam membayar hutang tersebut, Ogy nekad untuk memanfaatkan kemahiran memasaknya dengan berniaga pes kari. Setiap hari, Ogy memasak pes kari seawal jam 9 pagi bagi menyiapkan anggaran 300 balang sehari.




Ogy memberitahu, biarpun penat, dia tidak kisah asalkan dapat melangsaikan bayaran pelakon dan kru teater berkenaan: "Saya bukan penipu atau pendusta. Apabila berjanji untuk menjelaskan hutang, saya tetap tunaikan. Sebelum ini, saya ada beritahu sanggup buat pinjaman bank untuk tujuan itu.

"Apabila difikirkan kembali prosedur yang perlu dipatuhi dan selepas usaha pertama saya membuat pinjaman kewangan ditolak, tercetus idea menjual pes kari. Resipi pes kari ini saya dapat daripada arwah bapa, Allahyarham Datuk Ahmad Daud. Jadi, ini adalah resipi turun-temurun keluarga. Alhamdulillah, untuk hari pertama, semalam, saya menjual kira-kira 100 balang," katanya.




Ogy turut meluahkan syukur kerana ramai pihak sudi menghulurkan bantuan daripada segi tenaga tanpa berkira soal wang ringgit: "Saya dihubungi teman Facebook yang juga personaliti media sosial terkenal, Khairul Hakimin Muhammad.

"Khairul menyatakan hasrat membantu memasarkan produk saya melalui kempen yang diusahakannya tanpa mengambil komisen. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi yang sudi membantu mempromosikan pes kari air tangan saya.

"Bagi urusan memasak, saya dibantu kakitangan yang juga ibu kepada bekas pelajar kelas lakonan saya. Alhamdulillah, saya percaya, jika kita lakukan sesuatu dengan ikhlas, Allah akan permudahkan jalan dengan menghantar orang-orang seperti ini untuk membantu saya," luah pelakon filem 'Ali Setan' ini.














www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Ogy Ahmad Daud & Ogy's Foodbiz

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: