12 May 2020

ALAMI 'SIDE EFFECT' - RAMAI TANYA ZOEY, HUKUM TANAM RAMBUT PADA BULAN RAMADAN



"Muka saya jadi bengkak kesan daripada ubat bius yang diambil semasa rawatan menanam rambut. Hari pertama tak rasa apa-apa, tapi saya mula rasa kesannya pada hari kedua. Bengkak itu bermula di dahi kemudian turun ke kening, kelopak mata dan sekarang pada hari keempat bengkak itu kelihatan di bawah mata pula," demikian jelas pelakon dan pengacara Zoey Rahman.



Zoey mencuri perhatian netizen selepas berkongsi video menjalani rawatan menanam rambut sebelum ini. Terkini, Zoey berkongsi video wajahnya yang mengalami bengkak selepas menjalani rawatan tersebut dan menjelaskan bengkak tersebut merupakan kesan daripada ubat bius yang disuntik di bahagian depan kepalanya.

Apabila ditanya tentang proses rawatan yang dijalankan pada bulan Ramadan serta hukumnya di sisi Islam, Zoey memberitahu perkara itu dilakukan atas dasar menutup aib: "Pihak klinik sudah menerangkan terlebih dahulu tentang hukum menjalani rawatan ini.




"Ia tidak memudaratkan kesihatan atau membatalkan puasa kerana mereka cuma perlu mengambil darah dan beri ubat bius pada saya. Malah, mengikut hukum Islam ia dibenarkan kerana rambut itu diambil daripada rambut saya sendiri. Jika ia diambil daripada orang lain hukumnya haram," ulasnya.

Tambahnya, sebagai seorang artis dan usahawan kosmetik, dia harus menjaga penampilan agar sentiasa nampak kemas dan yakin: "Laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga menyatakan rawatan ini dibenarkan jika tujuannya adalah atas menutup aib. Untuk kerjaya saya sebagai seorang artis dan juga usahawan kosmetik, saya perlu sentiasa kelihatan kemas dan yakin.

"Kalau saya botak macam mana saya nak menjual produk-produk saya di samping menjalani penggambaran dengan yakin. Jadi saya ambil inisiatif daripada sekarang, saya tak mahu tangguhkannya hingga masa akan datang kerana ia mungkin sudah terlambat," kata Zoey.




Mengulas masalah keguguran yang dialaminya, usahawan kosmetik itu berkata ramai yang tidak menyangka dia berdepan dengan masalah rambut: "Saya ada masalah garis rambut berbentuk 'M'. Mungkin ramai yang tak nampak kerana saya sering menyembunyikannya dengan cara saya menggayakan rambut," ujarnya.

Pengacara itu turut menjelaskan klinik tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan: "Sepatutnya saya perlu menjalani rawatan itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, tapi ia ditangguh sehingga pelaksanaan PKPB.

"Klinik tersebut juga mengikut standard operasi yang betul seperti menjaga jarak. Saya juga menjalani ujian saringan jangkitan Covid-19 sebelum meneruskan rawatan," kongsi Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman.

















www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Zoey Rahman


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: