12 May 2020

LEPAS 'KAYANGAN', KINI 'BERTAHANLAH' - DRAMA BAND RANCANG LANCAR ALBUM PKP 1 JUN



Jika sebelum ini Drama Band melancarkan lagu sindiran untuk 'Kluster Kayangan' pada April lalu, terkini kumpulan tersebut tampil pula dengan single terbaharu berjudul 'Bertahanlah' yang ditujukan kepada barisan hadapan (frontliners).



Menurut vokalis Drama Band iaitu Aepul Roza, mereka mengambil risiko untuk mengeluarkan lagu dalam masa yang singkat kerana menyedari dalam berkarya tidak perlu had atau halangan: "Kali ini kami tampil dengan lagu untuk memberi semangat kepada para barisan hadapan kita yang bekerja keras untuk memerangi wabak Covid-19 sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah, di tempoh penuh cabaran ini, kami dapat hasilkan beberapa buah lagu dan tidak ambil masa yang lama untuk lancarkan semua karya kami. Kami rela mengambil risiko ini kerana sejak akhir-akhir ini kami sedar, dalam berkarya sebenarnya jangan diletakkan halangan. Kita tak pernah pasti esok akan tiba, jadi lakukan saja hari ini," katanya.

Lagu untuk 'kluster kayangan' berjudul 'Kayangan' yang dimuatnaik di saluran YouTube pada 14 April lalukini mendapat lebih 500,000 tontonan. Selepas berjaya mencecah setengah juta tontonan, Drama Band terus melancarkan lagu 'Bertahanlah' yangmemberi semangat kepada barisan hadapan pada Ahad.




Dalam pada itu, Aepul memberitahu lagu ciptaan Argo dan AG Coco tersebut merupakan salah satu single yang akan dimuatnaik dalam mini album bertajuk PKP yang dijangka akan dilancarkan pada 1 Jun depan.

Kata Aepul, mini album itu merupakan salah satu usaha atau inisiatif mereka untuk mencari pendapatan sampingan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu: "Kami memang ada niat untuk buat lagu beri semangat kepada barisan hadapan kita. Insya-Allah pada 1 Jun depan kami akan lancarkan mini album bertajuk PKP yang merangkumi lima buah lagu.

"Semua lagu itu ditulis dalam musim PKP ini. Memandangkan dalam tempoh yang sukar ini show pun tak ada, jadi kami ambil keputusan untuk keluarkan CD untuk dijual. Kiranya ini salah satu alternatif kami untuk mencari pendapatan sampingan dalam tempoh PKP," ujarnya.





www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: