12 May 2020

BUAT 'KESALAHAN TERINDAH' VERSI PENUH - NANA SERONOK LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK



Penyanyi Siti Nordiana yang pernah memperdengarkan lagu 'Kesalahan Terindah' versi pendek dalam drama lakonannya, 'Cekelat Honey' dan 'Satukan Rasa' itu mengambil inisiatif memuatnaik dendangan penuh di YouTube.



Mempunyai banyak masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, tidak bertangguh menyiapkan versi penuh lagu ciptaannya itu demi peminat.

"Single 'Kesalahan Terindah' dicipta sejak tahun lalu. Saya fikir, sementara menunggu single baharu, mengapa tidak saya lancarkan lagu yang pernah diperdengarkan dalam drama ini di YouTube saya. Hendak lancarkan single baharu pun, keadaan tidak mengizinkan. Bermacam-macam perkara kena buat termasuk video muzik," jelasnya.




Menggunakan nama pena Nana Alias dalam karyanya, Nana memberitahu, lagu berkenaan berkisar insan yang jatuh hati dengan individu tidak sepatutnya dia bermain cinta: "Nana fikir mungkin ada antara kita pernah melalui situasi ini.

"Semuanya mengikut persepsi masing-masing dan cara kita melihat sesuatu. Mungkin orang yang dicintai itu tidak setaraf dengannya. Adakalanya, kita suka, tetapi si dia tidak mempunyai perasaan sama," ujarnya.




Pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini menganggap Kesalahan Terindah sebagai projek istimewa sempena PKPB. Nana berkata, single itu dilancarkan bagi mengotakan janji kepada peminat: "Sudah lama peminat menanti versi penuh lagu ini. Jadi, sempena PKPB, saya siapkan single ini," tuturnya.

Mengenai Ramadan kali ini, Nana bersyukur ketibaan bulan mulia ini dalam tempoh PKPB, memberi hikmah tersendiri. Paling menyeronokkan, Nana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anaknya, Mohammad Rayyan Nakhaie.

"Saya dan Ryan ada lebih banyak masa bersama. Hampir setiap hari , saya memasak juadah berbuka puasa. Rutin ini jarang dibuat apabila terikat dengan komitmen kerja. Jadi, saya dapat menunjukkan skil memasak kepada anak," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Siti Nordiana


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: