02 May 2020
TAK MENGHALANG - LUFYA RALAT SUAMI TAK JENGUK ANAK HAMPIR SETAHUN
"Saya harus menjelaskan soal jumpa anak. Ini kerana ada yang beranggapan saya tak bagi suami jumpa anak. Dakwaan ini tidak benar sama sekali. Kalau tak mahu bercakap dengan saya bertanyakan anak, dia boleh sahaja menghubungi ibu mentua atau adik iparnya, tetapi kenapa berdiam diri?
"Saya dan suami kali terakhir berkomunikasi ketika mahu mengundangnya ke majlis hari lahir Laana yang kedua pada November lalu. Tetapi, dia tak datang kerana sibuk bekerja. Saya tiada masalah memberi kebenarannya bertemu anak di rumah. Jika saya keluar bekerja, anak di bawah jagaan ibu saya.
"Jadi, tak timbul masalah jika dia mahu meluangkan masa dengan anak," jelas penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, 35, yang ralat apabila suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum sudah hampir setahun tidak menjenguk anak, Laana Haura.
Bukan mahu mengeruhkan keadaan, sebaliknya Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar mahu menjelaskan kedudukan sebenar. Ada dakwaan mengatakannya tidak mengizinkan suami bertemu anak. Pelakon drama 'Umairah' itu mendakwa, suaminya tidak langsung bertanya khabar anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga masuk Ramadan.
Klik untuk gambar besar
"Dia harus ingat tanggungjawab pada anak, sekali pun sibuk dengan tugasnya sebagai petugas barisan hadapan. Andai kata kami tiada jodoh sekalipun, nanti, Laana tetap darah dagingnya. Bagaimanapun, saya bersyukur di sebalik ujian rumah tangga, rezeki saya dan anak datang dalam pelbagai cara," katanya.
Lufya berkata, dia tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai resipi masakan untuk hidangan berbuka puasa: "Saya jenis suka masakan Melayu atau lauk kampung. Jadi, salah satunya menu wajib kena ada masakan pedas.
"Pada Ramadan ini, saya seronok mendapat rezeki tajaan makanan untuk dipromosikan dalam laman Instagram (IG). Dapat makanan sedap, terasa nikmat hidup. Saya tidak mengenakan bayaran untuk membuat ulasan produk makanan. Saya mahu membantu mempromosikan perniagaan Bumiputera dan peniaga industri kecil sederhana," katanya.
Ketika ini, kes permohonan cerai Lufya dan suaminya masih tergantung. Mereka mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya perempuan, Laana yang kini berusia dua tahun. Pergolakan rumah tangga Lufya dan suami dapat dihidu wartawan pada Oktober 2018.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Lufya Omar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment