Bekas peserta Raja Lawak, Che Mat Daud telah membuat laporan polis terhadap penerbitnya Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, susulan isu tidak menerima baki bayaran teater 'Korupsi Dewan Semandung'. Che Mat berkata dia hanya menerima bayaran 30 peratus dan berasa tertipu dengan perjanjian Ogy yang sepatutnya membayar tunggakan bayaran selebihnya pada 16 Mac lalu.

"Sebelum teater ini dipentaskan saya sudah menerima 30 peratus bayaran dijanjikan manakala 30 peratus akan diberikan sehari sebelum hari pementasan dan selebihnya pada 16 Mac. Malangnya, pada hari pertama pementasan Ogy memohon maaf kerana tidak dapat membayar mengikut perjanjian kontrak.
"Mengenangkan reputasi dan namanya yang dikenali ramai dalam industri seni masing-masing berdiam diri dan meneruskan teater itu. Bagaimanapun, ketika menunggu tarikh yang dijanjikan iaitu pada 16 Mac untuk menerima baki bayaran penuh, Ogy masih memberi alasan dan seakan menipu saya dan pelakon lain.
"Malah dia pula terasa dimalukan apabila dikatakan diperli oleh segelintir pelakon dan kru dalam kumpulan WhatsApp itu sedangkan mereka hanya tidak sabar menunggu baki bayaran penuh," katanya.
Klik untuk gambar besar

Che Mat mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras pada Jumaat. Dia turut berkata Ogy ada membuat pembayaran RM1,000 kepada beberapa pelakon dan berjanji melunaskan baki bayaran semalam namun hanya janji kosong.
Terdahulu, penulis skrip teater itu iaitu Aloy Paradoks mendedahkan dia masih belum menerima baki tunggakan bayaran daripada penerbit Fauziah Ahmad Daud atau Ogy. Enggan membiarkan isu itu terus menjadi polemik dalam kalangan netizen dan penggiat seni, Ogy tampil mengakui kebenaran mengenai rungutan yang disuarakan Aloy.
Ogy menjelaskan dia berhadapan dengan masalah kewangan menyebabkan sehingga kini tidak dapat memberi bayaran seperti yang dijanjikan kepada pelakon dan kru terlibat dalam pementasan tersebut. Selain Che Mat, teater arahan Khir Rahman itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapa, Syura dan Sharif Zero.




www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________

No comments:
Post a Comment