01 May 2020

SUDAH 24 TAHUN ARWAH BAPA PERGI - 8 RAMADAN JENTIK HATI IFA RAZIAH


"Diam tak diam, sudah 24 tahun arwah meninggalkan kami sekeluarga. Kerinduan ini tak pernah pudar, malah sayu sayu hati mengingatkannya pada detik pemergian arwah. Apabila tiba Ramadan kelapan, hati ini lebih terusik. Saya anggap angka lapan cukup simbolik. Ini kerana kediaman di Flat Pekeliling, Jalan Tun Razak yang didiami bersama arwah juga angka lapan.





"Anak-anak seramai lapan orang yang ditinggalkan. Biarpun Flat Pekeliling sudah dirobohkan, tetapi memori bersama arwah takkan mampu dilupakan," demikian kata penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah yang memberitahu Ramadan kelapan mengingatkannya akan pemergian arwah bapanya, Allahyarham Mustapha Yahya.

Arwah bapa Ifa menghembuskan nafas terakhir pada 8 Mei 1996 yang kebetulan jatuh pada Ramadan kelapan. Hari ini, genap 24 tahun pemergiannya. Beliau meninggalkan dua isteri dan lapan cahaya mata. Penyanyi lagu 'Miss Diva' itu turut berkongsi momen bersama arwah bapanya di laman Instagram, hari ini.

Klik untuk gambar besar


Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha menyifatkan arwah bapanya seorang yang bertanggungjawab: "Arwah penyayang dan pengasih orangnya. Baginya, anak adalah segala-gala. Bagaimanapun, arwah cukup tegas dalam membuat keputusan, malah ketika hayatnya, arwah aktif dalam dunia politik," tuturnya.

Katanya, doa dan nasihat arwah sentiasa menjadi azimat berharga buatnya: "Ia menjadi peniup semangat untuk saya terus berjuang tanpa lelah. Hakikatnya juga saya terlalu merinduinya," ujarnya.

Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2016 dan 2017 itu berkata, dia merancang mengadakan majlis tahlil, hari ini: "Saya pilih Rumah Titian Kasih, kali ini. Saya nak sedekah anak yatim dan asnaf berbuka puasa," jelasnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Ifa Raziah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: