14 May 2020

TURUN PADANG - ROSYAM NOR EDAR BANTUAN RM50K MENERUSI 'DERMA DENGAN IKHLAS'


Pasaraya ST Rosyam Mart melalui kempen 'Derma Dengan Ikhlas' baru-baru ini telah menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan selepas prihatin dengan masyarakat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19. Menurut Pengarah ST Rosyam Mart yang juga pelakon, Datuk Rosyam Nor, sebanyak 1,000 keluarga daripada pelbagai komuniti termasuklah penggiat seni menerima sumbangan keperluan barangan asas itu.





"Pihak kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan jenama perniagaan iaitu Ikhlas membantu mereka yang memerlukan di musim COVID-19 ini. Kami telah mengenalpasti 1000 keluarga yang memerlukan bantuan merangkumi pelbagai persatuan dan badan NGO.

"Sumbangan itu juga dipanjangkan kepada Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (PERKHAS). Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Ikhlas dan berharap kerjasama murni ini dapat diteruskan untuk masa akan datang," katanya.

Sebanyak RM50,000 daripada jumlah dana sumbangan telah diserahkan kepada ahli Profima, Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (Perkhas), ibu tunggal, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan persatuan kebajikan penduduk.

Klik untuk gambar besar


Kerjasama Ikhlas dan pasaraya ST Rosyam Mart dijalankan kerana Datuk Rosyam Nor dan Datuk Raymond Ho terlibat secara aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Masyarakat Desa Melawati (Perkemas). Sehingga kini, kempen 'Derma Dengan Ikhlas' telah berjaya mengutip dana sebanyak RM911,000 melalui inisiatif derma digital awam.

Sejak hari pertama Ramadan, Ikhlas yang merupakan jenama di bawah naungan Air Asia telah mengedarkan barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 5,800 buah keluarga di seluruh negara. Sementara itu, Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata pasukannya telah mengedarkan bantuan di lebih 50 lokasi mencari mereka yang memerlukan bantuan.

"Kami berasa terpanggil untuk meringankan beban komuniti yang memerlukan, terutama pada masa yang mencabar ini. Setakat ini, kami telah mengedarkan bantuan ke lebih 50 buah lokasi dan kami menyedari bahawa ada ramai lagi komuniti yang memerlukan bantuan.

"Dengan semangat #InThisTogether, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasaraya ST Rosyam Nor untuk terus mengedarkan barangan keperluan asas kepada lebih ramai keluarga dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan," ujarnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Rosyam Nor


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: