14 May 2020

BERJAUHAN DEK PKPB - ALIFF & BELLA UMUM BAKAL TIMANG 'BABY GIRL'


Dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berlangsung ekoran Covid-19, pasangan Aliff Aziz dan Bella Astillah tidak dapat bersama. Aliff dan Bella baru-baru ini telah membuat kejutan serta berkongsi jantina cahaya mata kedua mereka itu menerusi Instagram Live.





Daripada video yang dimuatnaik, Aliff dikelilingi oleh keluarga rapatnya termasuklah adik, Aisyah Aziz di Singapura manakala Bella pula bersama dengan anak sulungnya, Mohd Ayden Adrian, 3, di Malaysia semasa siaran langsung ini.

Daripada perkongsian itu, pasangan bagai pinang dibelah dua itu dikhabarkan bakal menimang cahaya mata perempuan dan Bella dijangka akan bersalin pada Julai nanti sekiranya semua berjalan dengan lancar. Menerusi ruangan komen, semua peminat membanjiri Aliff dan Bella dengan ucapan tahniah selain meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat adik baru Ayden nanti.

Klik untuk gambar besar


Bella, 26, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, itu cara terbaik dibuat memandangkan dia dan Aliff tinggal berjauhan sekarang: "Saya dijangka bersalin Julai ini. Memandangkan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kami duduk jauh, jadi ini saja cara terbaik. Soal jantina anak, saya sudah tahu lama," katanya.

Sementara itu, Aliff yang kini berada di Singapura berkata, dia memang mengimpikan anak perempuan: "Sebenarnya, saya tak tahu jantina anak sebab Bella rahsiakan daripada saya. Jadi, pada majlis ini baru dapat tahu.

"Kalau ikutkan saya nak anak perempaun, tapi tidak kisah pun jika dapat lelaki asalkan bayi itu sihat dan cukup sifat. Alhamdulillah, betul anak perempuan. Terima kasih pada semua yang mendoakan," katanya.



Aliff yang popular menerusi lagu 'Sayang Sayang' juga tidak sabar untuk berjumpa isteri dan anak mereka, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun: "Terima kasih Bella kerana kuat melalui masa-masa sukar ini dan juga Ayden. Insya-Allah, nanti kita berjumpa. Tak sabar nak jumpa semua," katanya.

Terdahulu, pada bulan lepas, Bella tampil membuat pengakuan bahawa dia dan Aliff sudah kembali rujuk pada Julai tahun lalu selepas bercerai dengan talak satu pada Mei 2019. Pengakuan itu juga mengejutkan ramai pihak apabila Bella turut mendedahkan dia kini sedang berbadan dua.

Sebelumnya, pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 16 Mei tahun yang sama.












www.myartis.com / Sumber: Harian Metro, Beautifulnara, Astro Gempak, mStar, Instagram Aliff Aziz & Bella Astillah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: