19 June 2020

ALAMI KEGUGURAN - BEKAS ISTERI DA'I FARHAN, DR ERIN REDA TIADA REZEKI TIMANG ANAK KE-9


Nampaknya rezeki bekas isteri kepada pendakwah bebas, Da'i Farhan iaitu Noorainul Naqim Mohd Radzi atau lebih dikenali sebagai Dr Erin itu untuk menimang cahaya mata kesembilan tidak kesampaian apabila dia mengalami keguguran ketika kandungannya baru memasuki usia dua bulan.





Dr Erin, 40, berkongsi berita sedih itu menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini. Meskipun berdepan ujian berat itu, Dr Erin berkata dia reda dengan ketentuan tersebut dan berharap dapat bertemu zuriatnya itu di syurga kelak.

"Aku serahkan urusan rezekiku hanya kepada Allah penciptaku, kerana aku yakin Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki dan perancang. Moga Allah temukan mama dengan anak mama Ahmad Fahrezzi Faisel di syurga nanti," tulisnya di laman Instagram pada malam Khamis.

Klik untuk gambar besar


Dalam perkongsiannya itu, dia turut memuat naik sebahagian teks ucapan yang disampaikan oleh penceramah terkenal, Ustaz Dusuki mengenai menamakan bayi dalam kandungan yang sudah keguguran: "Jika kita mengandung, anak itu gugur walaupun kandungan baru seminggu atau sebulan beri nama kepada anak itu.

"Jika belum tahu dia lelaki atau perempuan maka berilah mereka nama lelaki kerana dia akan ada di akhirat nanti. Dia tunggu untuk berkasih sayang dengan kita di syurga nanti. Jangan bersedih ketika keguguran kerana anak itu sedang menunggu kita. Buatlah amal kebaikan di dunia dan semoga bertemu di syurga!," katanya lagi pada teks berkenaan.



Pada 25 April lalu, Erin berkongsi berita gembira memaklumkan dirinya berbadan dua. Bagaimanapun dua hari kemudiannya Erin mengesahkan bekas peserta program Da'i itu sudah melafazkan cerai dan ikatan perkahwinan mereka sudah berakhir.

Pasangan ini berkahwin di Makkah pada November tahun lalu. Perkahwinan Da'i Farhan atau nama sebenar Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 30, dengan janda anak lapan itu mendapat perhatian masyarakat apabila dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertamanya, Fatin Nurul Ain.

Nik Farhan menceraikan isteri pertamanya yang ketika itu sedang sarat mengandung anak kedua mereka dan perceraian dengan talak satu itu dilafazkan menerusi rakaman suara di aplikasi WhatApps.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Rotikaya


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: