21 June 2020

"DAH ALANG-ALANG..." - ENGGAN GOYANG KAKI, AIMAN TINO BERNIAGA AIR MANGGA


"Seperti yang kita tahu, dalam tempoh PKP sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini semua acara hiburan dan persembahan ditangguhkan buat sementara waktu. Jadi buat masa ini memang saya tak ada persembahan... kalau ada pun hanya hadiri jemputan program televisyen dan sebagainya sahaja.





"Dah alang-alang tak ada buat apa-apa di rumah, saya pun cubalah pelbagai perniagaan dan terbaharu air minuman berperisa buah mangga... bolehlah untuk tambah-tambah sumber pendapatan!" demikianlah kata penyanyi Aiman Tino yang enggan sekadar duduk diam sahaja apabila dia menerokai pelbagai jenis perniagaan bagi menambah sumber pendapatan termasuklah menjalankan perniagaan air minuman berperisa buah mangga, Aimango.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, anak seni yang terlibat dalam bidang nyanyian merupakan antara yang paling terkesan dengan pelaksanaan peraturan berkenaan. Sementara itu, penyanyi lagu 'Benci' ini memberitahu perniagaan air minuman itu mula diperkenalkan pada Isnin lalu dan menerima sambutan hebat pelanggan.

Klik untuk gambar besar


Malah, Aiman tidak malu mengakui minuman itu disediakan sendiri olehnya dan dia juga bertindak sebagai 'runner' yang akan menghantar minuman yang ditempah pembeli di sekitar Lembah Klang: "Air ini memang saya sendiri yang buat dan saya juga yang akan hantar kepada pembeli.

Memandangkan sejak kecil saya memang minat berniaga, jadi tiada rasa malu untuk turun padang jumpa pelanggan. Alhamdulillah, sambutan sangat baik... dalam masa seminggu memulakan perniagaan ini, lebih 500 botol sudah terjual.

"InsyaAllah, apabila keadaan semua sudah kembali pulih dan dibenarkan bekerja, perniagaan ini akan tetap diteruskan. Kami rancang nak tambah lagi perisa lain dan menambah ejen jualan di setiap kawasan," ujar Aiman yang turut memberitahu dia bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Aiman Tino


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: