30 June 2020

HAMPIR 5 TAHUN MENDUDA - ALONG CHAM ADALAH BAPA & IBU DANIAL, GIGIH KERJA DEMI ANAK


Pelakon dan pelawak, Along Cham, 37, yang sudah hampir lima tahun menduda itu semakin selesa menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan ibu serentak demi kebahagian anak tunggalnya, Ahmad Danial, 9. Apatah lagi, Danial kini menjadi rakan paling rapat buat Along dalam berkongsi segala rahsia bersama. Menurut Along, anaknya sangat memahami dan begitu menghormati.





"Fokus saya kini sepenuhnya pada Danial. Saya bekerja gigih untuk cari rezeki bagi menyara kehidupan anak, ibu bapa serta keluarga. Malah, yang penting saya mahu Danial berjaya dalam pendidikannya. Alhamdulillah, pembabitan semula saya dalam lakonan sejak 2018 menampakkan maklum balas sangat positif. Malah, tanpa diduga saya dicalon 'Top 5' Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada tahun lalu.

"Buat julung kali, saya dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi karya Tiada Tajuk arahan Mawi yang dibintangi bersama Hazama dan Joey Daud. Alhamdulillah, rezeki pencalonan berpihak pada saya," katanya.

Biarpun tewas di tangan pelakon Dr Rosdeen Suboh yang membintangi filem One Two Jaga, Along berkata, dia sedikit pun tidak kecewa atau sedih kerana gagal memenangi trofi pelakon terbaik itu. Katanya, Dr Rosdeen layak menang kerana memiliki bakat lakonan yang lebih mantap.

Klik untuk gambar besar


Malah, Along juga menyifatkan pelakon berkenaan sangat berpengalaman dan mempunyai banyak ilmu lakonan. Mengulas perkembangan karier lakonannya kini, Along atau nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad berkata, dia perlu membuat perancangan semula.

"Pada ketika ini, negara pun dilanda penularan wabak Covid-19 dan industri hiburan baharu dibenarkan 'bernafas semula' oleh kerajaan untuk menjana ekonomi. Justeru, saya bersama beberapa rakan sekarang sibuk dengan perancangan menubuhkan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang menjurus pada membantu serta menyuntik inspirasi kepada golongan muda.

"NGO yang bakal ditubuhkan ini cuba membantu golongan muda mengetengahkan keupayaan potensi diri mereka daripada kosong sehingga berpeluang mencapai kejayaan dalam hidup, insya-Allah," tuturnya.



Diminta mengulas lanjut, Along berkata, sekarang belum masa untuk dia berkongsi maklumat terperinci berkaitan penubuhan NGO itu. Katanya, tunggu hingga majlis pelancaran diadakan nanti. Apapun, Along berkata, dia akan terus aktif berlakon kerana hingga kini masih ada tawaran diterimanya.

Cuma, katanya jika tiada aral dia akan berlakon lagi di bawah arahan Mawi. Mengulas kerjasama dengan Mawi yang juga rakan baiknya, Along berkata, dia kagum dengan bakat besar dimiliki juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu dalam bidang seni.

"Saya serasi kerja dengan Mawi kerana dia banyak membantu membentuk watak pada lakonan saya ke arah lebih berkesan. Dia suka beri saya cabaran kerana yakin dengan kemampuan lakonan yang saya miliki untuk dipersembahkan kepada penonton," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: