07 June 2020

"SEKARANG TIDAK BERDAYA DAH... KUDRAT SUDAH TAK KUAT" - ROSLAN SALLEH BERGANTUNG TONGKAT


Pelakon veteran, Roslan Salleh, 63, yang menghidap penyakit diabetis atau kencing manis, tekanan darah rendah dan beberapa lagi sejak 10 tahun lalu itu mengakui kini bergantung dengan tongkat jika hendak bergerak. Malah, Roslan yang juga pelakon 'Munafik 2' itu mudah berasa penat jika berdiri terlalu lama atau terlalu banyak pergerakan.





"Dulu boleh juga berjalan dan buat kerja ringan, sekarang tidak berdaya dah. Mujur ada isteri dan anak yang belum kerja duduk dan bantu saya. Kudrat sudah tak kuat. Kalau jalan nak kena pimpin dan berpapah atau nak kena pegang dinding.

"Sebelum ini sudah dua tiga kali terjatuh, jadi takut berulang. Disebabkan itu, sekarang saya menggunakan tongkat. Itu pun tak boleh terlalu banyak bergerak juga. Saya mudah letih. Apatah lagi saya menghidap dua, tiga jenis penyakit seperti kencing manis, tekanan darah rendah. Tekanan darah rendah ini yang bahaya sikit. Tak boleh kena panas dan cepat penat," ujarnya.

Atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, Roslan yang kini menetap di kampung halaman iaitu di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka mengambil keputusan untuk bersara dari dunia lakonan: "Saya pindah sini sejak lapan tahun lalu. Kesihatan pula mulai tidak mengizinkan sejak dua tahun kebelakangan ini. Jadi, saya tak boleh berlakon sebab sudah tak larat.

"Ada tawaran, tapi terpaksa tolak. Susah nak bergerak ke sana sini. Sedangkan kalau berlakon perlukan komitmen tinggi. Alhamdulillah, di kampung saya berniaga dengan menjual masak daging dendeng dan sambal bilis.

"Cuma sekarang, saya serahkan tugas pada anak bongsu lelaki yang belum kerja. Jadi, ada juga sumber pendapatan. Saya kena juga buat sebab masih ada tanggungan iaitu isteri dan anak. Jadi, memang kena usaha juga. Anak lain ada tanggungjawab juga, tak nak susahkan mereka," jelasnya.

Terdahulu, Persatuan Seniman menziarahi Roslan di rumahnya, semalam, bagi menghulurkan bantuan berbentuk barang makanan dan keperluan harian: "Seniman sudah lama buat macam ini. Dulu masa saya sakit dan masuk hospital, mereka rajin juga bantu. Sebab saya sekarang di Melaka, jadi mereka sanggup datang juga.

"Saya jenis kalau ada org nak beri sumbangan saya ambil. Saya tak meminta. Saya menghormati keprihatinan mereka. Tapi, ada juga yang dari jauh nak datang, saya kata tak perlu. Alhamdulillah, saya okay lagi. Cuma kudrat saja tak berapa kuat," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: