15 June 2020

SUDAH HADIRI KURSUS KAHWIN - ISA & RISTEENA RANCANG NIKAH HUJUNG TAHUN


Harapan disatukan dalam ikatan perkahwinan menjadi detik yang ditunggu oleh pasangan selepas sekian lama menyulam cinta. Begitu juga dengan pasangan romantis, Isa Khan dan tunangnya, Nur Risteena Munim yang merancang melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini. Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi semasa sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berterusan.





"Kami merancang mengadakan majlis pernikahan sekitar November atau Disember ini. Rancangan ini sudah ditetapkan ketika majlis pertunangan lagi. Kami rancang bertunang hanya setahun, tak mahu tunang lama-lama. Bagaimanapun, disebabkan PKPP masih berterusan dan tidak diketahui berlanjutan hingga bila, jadi kami masih belum menetapkan tarikh yang sesuai," jelasnya.

Isa atau nama sebenarnya, Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan berkata, dia terlintas mahu melangsungkan majlis pernikahan terlebih dahulu, kemudiannya barulah majlis resepsi diadakan pada tarikh bersesuaian.

Klik untuk gambar besar


"Jika mengadakan majlis ketika PKPP, pastinya kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana kerajaan masih tidak membenarkan majlis kenduri kahwin yang membabitkan orang ramai berkumpul. Besar harapan saya dapat mengadakan majlis pernikahan dan persandingan serentak.

"Bagaimanapun, disebabkan COVID-19 belum berakhir, terfikir juga mahu bernikah dahulu dan majlis persandingan diadakan tahun hadapan. Bagaimanapun, semuanya masih belum ditetapkan lagi. Kami kena berbincang dengan keluarga dan melihat situasi semasa," katanya.



Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2016 itu berkata, dia tidak tertekan apabila perancangan asal tidak dapat direalisasikan dengan baik. Katanya, bukan dirinya sahaja yang berdepan dengan nasib sedemikian, malah rakyat seluruh dunia mengalami masalah sama ekoran pandemik COVID-19.

"Perkara ini bukan satu masalah besar buat kami. Nak tertekan sangat pun buat apa kerana ramai lagi yang terjejas dan keadaan mereka lebih teruk. Alhamdulillah, keluarga memahami kami tidak boleh membuat persiapan secara menyeluruh ekoran PKPP," ujarnya yang sudah menghadiri kursus perkahwinan.

Isa mengikat tali pertunangan dengan Nur Risteena pada 23 November tahun lalu selepas lima bulan berkenalan. Mereka mengadakan majlis pertunangan di Bali, Indonesia dengan dihadiri ahli keluarga. Dalam perkembangan lain, Isa dan Risteena sibuk membangunkan produk minum kesihatan yang diusahakan bersama.

Kami doakan semoga urusan ke jinjang pelamin pasangan ini dipermudahkan. Iyelah bila sudah mempunyai ikatan yang sah, bolehlah beromantik-romantik lebih. Tak gitu!








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Isa Khan & Instagram Risteena Munim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: