11 June 2020

"TUNGGU SEMUANYA BERSIH... BIAR BETUL-BETUL OKAY BARU TERUSKAN" - AWIE BELUM 'TERDESAK' MENYANYI


"Saya nak tunggu semuanya bersih kerana tak nak jadi dalam keadaan sensitiviti manusia, ramai yang meninggal dunia dan ramai masyarakat yang terkesan dengan keadaan ini, kita sibuk minta kebenaran untuk beraksi. Biar betul-betul okay baru teruskan. Kerajaan kata boleh buat baru kita buat.





"Janganlah kita mendesak. Dalam masa yang sama, saya percaya kerajaan juga memikirkan kesusahan golongan artis yang tak boleh buat konsert," kata penyanyi rock dan pelakon popular, Datuk Awie yang tidak mahu terburu-buru 'turun padang' untuk kembali aktif menyanyi sehingga kerajaan mengumumkan keadaan benar-benar selamat.

Awie, 51, berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga pandemik Covid-19 benar-benar pulih selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Menurutnya, desakan yang dibuat oleh penggiat seni membuatkan kerajaan melihat mereka terlalu terdesak untuk bekerja.

"Apabila ada simpati di situ sedangkan keadaan belum selamat, memang agak bahaya untuk kita. Saya tak nak ada elemen simpati begini. Kalau kata A, A lah dan kalau B, B lah. Kita terpaksa akur benda yang bahaya. Saya pun tak nak ambil risiko," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud yang merancang untuk mengadakan semula Konsert Apologia Search & Awie di Stadium Malawati, Shah Alam pada Disember ini, Awie berkata, dia akan melihat pada semua aspek terlebih dahulu.

Klik untuk gambar besar


"Semuanya kena merujuk kepada keputusan kerajaan. Nanti kalau buat juga dalam keadaan berisiko dan ada kluster Apologia atau kluster Search payah juga. Terpalit juga semuanya nanti. Apabila dibabitkan kluster itulah yang payah. Apapun dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya ada juga buat latihan vokal. Sekarang saya buat semula latihan tanpa band," katanya.

Awie berkata, Nasir tentunya mempunyai sebab tersendiri apabila menyasarkan melangsungkan konsert terbabit pada Disember nanti: "Sebenarnya penggiat seni bercakap atas kapasiti kehidupan yang terdesak. Tapi dalam masa sama kena fikir juga keselamatan masyarakat dan semua pihak.

"Kami (penggiat seni) nak situasi menang-menang. Kena ingat ini ialah punca rezeki kami. Bagaimana kami nak teruskan kehidupan tanpa konsert. Jalan penyelesaian perlu dicari. Itulah sebabnya Nasir buat pengumuman awal untuk beritahu yang konsert ini tetap diadakan kerana duit tiket yang dijual sebelum ini tak dipulangkan," katanya.

Menurutnya, dia dan anggota Search tahu projek ini tetap akan dibuat. Jadi, peminat tidak akan membuang tiket konsert terbabit.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Awie Wings


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: