24 July 2020

ACHEY SELESAIKAN HUTANG KERJA ARWAH ABAM & BANTU BALU SERTA KELUARGANYA


Meskipun sudah hampir enam bulan Allahyarham Abam pergi menghadap Ilahi, namun pemergian ahli kumpulan Bocey itu masih membekas di hati. Ini terbukti apabila pelawak dan penyanyi, Achey tersentak serta terdiam seketika apabila ditanya mengenai perkembangan kumpulannya itu.





Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah berkata, hingga kini, ingatannya pada arwah masih kuat: "Saya ada melawat kubur arwah selepas mendapat keizinan. Hanya saya seorang sahaja dapat masuk, itu sebab saya tak muat naik video.

"Saya sering berulang alik ke Raub, Pahang, jadi saya selalunya singgah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu untuk melawat kubur arwah. Jujurnya, pemergian arwah meninggalkan kesedihan mendalam buat saya dan Fad.

"Setiap kali saya dan Fad berjumpa, kami akan sedekahkan al-Fatihah dahulu pada arwah, kemudian barulah kami berbincang mengenai perjalanan Bocey. Apabila bercerita, pasti mengimbau kenangan bersama arwah. Nama arwah sering di bibir kami. Jadi, tak banyak yang saya minta, terus berdoa untuk arwah," katanya.

Mengulas perkembangan Bocey, Achey dan Fad kini sedang berusaha untuk mewujudkan saluran YouTube dan Facebook: "Fad sedang membangunkan saluran YouTube. Dalam masa sama, kami merangka perjalanan dan pengisian dalam saluran berkenaan. Menerusi program yang dirancang, ada bahagian untuk arwah dan disalurkan buat keluarganya. Insya-Allah, ada penyokong atau tidak, kami akan meneruskan perjuangan Bocey," jelasnya.

Klik untuk gambar besar

Selain itu, Achey turut menunaikan janji untuk menyempurnakan kerja arwah yang tergendala secara sukarela dan percuma: "Ada dua 'review' menerusi laman Instagram yang dilakukan bagi pihak arwah. Ia membabitkan produk kurus yang kurang sesuai untuk saya, memandangkan saya sememangnya kurus. Jadi, saya lakukannya bersama isteri. Alhamdulillah, tontonan agak tinggi.

"Satu lagi membabit produk minuman dan saya dapat maklum balas yang baik hingga peniaga terpaksa menyuruh saya memadamkan entri kerana tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan. Saya rasa puas dapat membantu dan memberi impak pada peniaga," ujarnya.

Achey berkata, dia tidak lupa membantu balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang kini menanggung cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia setahun sebulan: "Saya dan isteri akan berhubung dengan Nurhidayah, setiap minggu. Ada kala saya akan menyertai sesi live yang dilakukan untuk menjadikan perniagaannya mendapat perhatian.

"Sekarang, Nurhidayah berniaga cempedak goreng, durian dan buah-buahan. Saya akan bantu apa yang boleh dibantu dari segi promosi. Bagaimanapun, saya tidak hanya mengambil berat mengenai isteri dan anak, malah sering menghubungi keluarga arwah seperti ibu serta adiknya, Ali Puteh," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Achey


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: