24 July 2020

HANEESYA TAK TERASA DIGELAR 'ARTIS SENDU': "TIDAK SESUAI UNTUK SAYA"



"Bagi saya, panggilan artis sendu tidak sesuai untuk saya, malah sedikitpun tidak terasa dengan panggilan yang diberi. Saya baru sahaja bertapak dalam industri seni, berapa kerat sangat drama yang dibintangi, jadi ia bukanlah gelaran yang sesuai ditujukan kepada saya.



"Lainlah, jika sudah lama saya berlakon," demikian ujar model dan pelakon Haneesya Hanee, 20, yang tidak melenting apabila dirinya digelar artis sendu akibat sekian lama tidak kelihatan di kaca televisyen (TV) dan berkata, dia baru sahaja bertatih dalam dunia lakonan, jadi gelaran artis sendu seakan tidak sesuai untuknya.

Memulakan kerjaya seni menerusi teater 'Siti Di Alam Fantasi' pada usia 9 tahun, nama Haneesya makin dikenali selepas membintangi drama 'Cik Reen & Encik Ngok Ngek' dan 'Curi Curi Cinta'. Bagaimanapun, entah di mana salah dan silap, gadis hitam manis itu kini semakin kurang menerima tawaran lakonan.

Jauh di sudut hati, Haneesya mengakui, tertanya-tanya adakah disebabkan kontroversi yang sering dikaitkan dengan dirinya atau kemenangan Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun lalu menyebabkan syarikat produksi tidak berani mengambilnya kerana bimbang bersikap 'demanding'.

Klik untuk gambar besar

Namun, kata Haneesya atau nama penuhnya, Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan, dia bukanlah seorang yang suka meletakkan harga, sedangkan masih hijau dalam dunia lakonan. Kali terakhir, dirinya membintangi drama 'Curi-Curi Cinta', tahun lalu.

"Saya meminati dunia lakonan hingga sanggup mengikuti kelas seni. Cuma, rezeki belum menyebelahi biarpun saya memenangi ABPBH, tahun lalu. Semakin kurang tawaran lakonan diterima. Mungkin produser takut saya meletakkan harga tinggi, tetapi saya tak mungkin bersikap sedemikian kerana saya tahu siapa diri saya.

"Bagaimanapun, saya bersyukur rezeki dalam dunia peragaan masih tidak berhenti. Begitu juga ulasan produk, jadi melalui dua sumber inilah saya meraih pendapatan menanggung keluarga. Saya berlakon bukan disebabkan duit, tetapi minat yang mendalam pada lakonan," katanya yang juga pernah merakamkan single berjudul Mengejar Mimpi berkolaborasi bersama kumpulan Bimasakti.



Haneesya tidak menafikan sering kali diasak dengan persepsi gadis liar suka berparti dan bersosial. Bukan sedikit kontroversi yang menerjah kehidupannya, namun ia sesekali melunturkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

Biarpun kebanyakan kontroversi yang tercetus bukan disengajakan, Haneesya mahu 2020 menjadi tahun positif untuk menjaga nama dan kerjayanya: "Bercakap mengenai penyesalan, tentulah ada rasa penyesalan. Jika boleh, saya tak mahu mengulang kesilapan yang sama dalam hidup.

"Jujurnya, saya mengalami kejutan budaya apabila menjadi cemuhan masyarakat pada peringkat awal dahulu. Kini, saya cuba belajar untuk terbuka dalam menerima kritikan. Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah. Sakit sangat apabila dikritik, tetapi tidak mudah menutup mulut netizen.

"Kebanyakan kontroversi yang berlaku wujud secara tidak disengajakan. Sedikit kesalahan yang dilakukan, netizen suka membesarkannya hingga menjadi tular. Saya tak mahu menoleh ke belakang lagi, saya mahu mengurangkan kontroversi dan fokus kerja serta produk yang bakal dihasilkan," tutur Haneesya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Haneesya Hanee


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: