31 July 2020

AMRAN TOMPEL TERHARU, SEBAK DIKUNJUNGI TEMAN SEPERJUANGAN



Seniman serba boleh, Amran Tompel yang kini uzur akibat serangan angin ahmar itu berasa terharu apabila kesudian teman seperjuangan berkunjung ke Senawang, Negeri Sembilan, untuk menjenguk dirinya. Amran atau nama sebenar, Amran Aman Ramlie, 70, yang sudah beberapa kali diserang angin ahmar dengan insiden terbaru, Mac lalu, tidak dapat menahan air mata setiap kali teman, sanak-saudara dan jiran tetangga bertandang.



Luah Amran yang pernah membintangi filem 'Keluarga 99', beliau berbesar hati dan terharu dengan kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid serta ahli lembaga pengarah dan beberapa pegawai sempena Program Ziarah Kasih FINAS, baru-baru ini.

"Seronok dapat bertemu kawan-kawan lama. Terima kasih kepada FINAS kerana mengambil berat keadaan diri saya dan sudi menghulurkan sedikit sumbangan. Sedikit-sebanyak sumbangan itu dapat meringankan beban saya," katanya.

Amran yang juga adik kepada pelakon dan pelawak lagenda, AR Badul, bersyukur sejak terlantar sakit, teman-teman menunjukkan keprihatinan mereka biarpun ketika negara dilanda penularan COVID-19: "Paling saya tidak sangka dan amat terharu apabila menerima kunjungan Datuk Yusof Haslam dan Datuk Awie. Saya tidak sangka mereka sanggup datang sejauh ini untuk menziarah saya," katanya yang tidak lagi mampu menggerakkan kaki dan tangan kirinya.

Amran yang menetap bersama anak lelakinya, Shafiq Arman, 26, turut dibantu bekas isteri, Anas Salmi, 52, untuk menguruskan dirinya. Menurut Anas, setiap kali menerima kunjungan teman dan sanak-saudara, dia dapat melihat perubahan pada wajah Amran yang terharu dengan kehadiran mereka.

"Apabila ada kunjungan rakan-rakan, dia memang mudah sebak. Mungkin secara peribadi, sewaktu masih kuat, dia jarang mempunyai kesempatan untuk berjumpa rakan-rakan. Mungkin kerana dulu, abang Amran jarang dapat tawaran lakonan. Boleh dikatakan rezeki dia dalam bidang seni agak berat," ujarnya.

Anas berkata, Amran sebak kerana masih ada pihak yang prihatin dengan dirinya biarpun sumbangan kepada dunia seni tidaklah banyak: "Tetapi dia merasa sangat dihargai dan disayangi kerana ramai yang sudi datang dan menghulurkan bantuan. Sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan beban kami. Wang itu kami gunakan untuk membeli barangan keperluan seperti ubat-ubatan dan menjelaskan hutang abang Amran yang tertunggak," tuturnya.

Dakwa Anas, bekas suaminya itu mempunyai hutang sewa rumah sebanyak RM30,000 yang tertunggak sebelum mereka berpisah lagi. Pasangan itu berkahwin pada 1992 dan bercerai kira-kira tiga tahun lalu. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata termasuk Shafiq.

Klik untuk gambar besar

Biarpun sudah berkahwin semula dengan lelaki lain, Anas tidak meminggirkan bekas suaminya itu. Malah, dia bersyukur apabila suami baharunya yang juga warga Pakistan, memberi keizinan kepadanya membantu anak-anak menguruskan Amran.

"Saya terpaksa berkorban berhenti kerja untuk membantu anak-anak menjaga bekas suami kerana bimbang mereka diberhentikan kerja. Apa akan jadi pada anak-anak jika mereka tidak bekerja. Siapa hendak beri mereka duit, jadi biarlah saya berkorban asalkan anak-anak ada kerja. Mereka juga ada kehidupan.

"Setakat ini, keadaan abang Amran, nampak ada perubahan. Dia sudah boleh makan. Sebelum ini, hampir sebulan dia tidak makan dan hanya minum air. Sekarang, dia sudah boleh mengambil makanan kasar," jelasnya.

Anas berkata, tangan tangan dan kaki kiri Amran masih belum boleh bergerak, lemah longlai dan tiada tindak balas: "Tapi jika kita terlanggar, dia akan mengerang kesakitan. Kami pernah ikhtiar membawanya pergi berurut tetapi dia mudah luntur semangat.

"Contohnya, baru-baru ini, saya bawa dia periksa mata untuk buat kaca mata tetapi doktor beritahu, matanya hanya berfungsi 10 peratus. Mendengar penerangan doktor, dia terus menangis kerana terlalu kecewa," katanya.

Mereka juga merancang untuk membawa Amran ke sebuah klinik saraf atas saranan beberapa kenalan. Sebelum ini, Anas memberi makanan tambahan kepada bekas suaminya itu. Selepas mengambilnya, Amran dilihat boleh bangun sendiri. Namun, disebabkan harganya yang mahal, pengambilan makanan tambahan itu terpaksa dihentikan.

"Itu salah satu ikhtiar kami, bukan kami penat atau tidak mahu lagi menjaga dia. Kami berharap dia dapat kembali kepada kehidupannya yang dahulu. Sekurang-kurangnya dapat bergerak dan bertongkat untuk ke surau dan berjumpa kawan-kawan sudah memadai.

"Setakat ini, Amran tidak berapa larat kerana sebelah kiri tubuhnya tidak berfungsi. Namun, percakapannya masih jelas," tuturnya yang sedang berikhtiar memohon bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bekas suaminya itu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: