27 July 2020

ENGGAN DEDAH IDENTITI KEKASIH - ZUL ARIFFIN TANGGUH KAHWIN



Banyak pihak termasuk selebriti memasang impian berkahwin pada 2020 kerana susunan angka cantik dan tidak terkecuali, pelakon Zul Ariffin, 34. Namun, sehingga hari ini, tiada perkembangan terbaru mengenai berita perkahwinannya. Sebelum ini, bintang filem 'J Revolusi' dan 'Sangkar' itu pernah membuka mulut mahu menamatkan zaman bujangnya sebelum Aidilfitri lalu.



Ini menimbulkan pertanyaan apakah hubungan Zul dan wanita yang dirahsiakan identitinya itu masih berlanjutan atau sudah putus di tengah jalan. Zul berkata, segala perancangan termasuk soal kahwin terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

"Apabila wabak melanda dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, semua perancangan dibuat tidak menjadi termasuk soal perkahwinan. Melihat keadaan sekarang, kita nak buat perancangan pun tak berani.

"Insya-Allah, kalau tahun ini tidak dapat, saya akan bawa hasrat untuk berkahwin tahun depan. Tetapi, ia bukanlah pada awal tahun kerana ada banyak kerja yang harus diselesaikan. Mungkin pertengahan tahun waktu yang sangat sesuai," katanya.

Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama 'Rindu Awak 200%' dan 'Titian Cinta' itu berkata, dia bersyukur bakal isteri memahami situasi dan tidak terlalu memaksa: "Mujur si dia faham dan tiada halangan untuk menangguhkan perkahwinan. Kami tidak bergaduh pun. Bila ditunda, bolehlah saya buat persiapan dengan lebih serius dan rapi.

Klik untuk gambar besar

"Tahun lalu saya berangan sahaja. Tiadalah buat persiapan beriya-iya, tetapi bukanlah hendak kata saya tidak serius. Saya sudah lama bersedia untuk menjadi suami. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini," ujarnya berkias.

Sehingga ke hari ini, Zul masih berpegang kepada prinsip untuk tidak mendedahkan siapakah wanita bertuah yang berjaya mencuri hatinya. Sebaliknya, menerusi temubual lalu, Zul hanya memberitahu wanita terbabit bukanlah selebriti dan tidak beragama Islam.

Dijolok dengan pertanyaan apakah bakal memperkenalkan bakal isterinya secara rasmi pada sidang media, pelakon kelahiran Taiping, Perak itu menyerahkan kepada wanita berkenaan untuk membuat keputusan:

"Tunggulah dahulu, sampai masanya, saya akan memperkenalkan. Kalau nak buat sidang media pun saya tak kisah. Saya sangat terbuka. Cuma, dalam hal ini, saya serahkan kepada pihak sebelah sana. Apakah dia selesa atau tidak untuk diperkenalkan dengan cara begitu," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Hiburan & Instagram Zul Ariffin


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: