03 July 2020

TO'KI MOHON AMPUN, HALALKAN MAKAN MINUM - BAKAL PINDAH, KERETA DIBAIKI UNTUK ULANG-ALIK KE PONDOK USANG



Sejak beberapa hari lalu, kisah hidup penyanyi era 1990-an, To'ki tiba-tiba hangat diperkatakan netizen gara-gara foto pondok usang yang didiami bersama isterinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, yang tidak mampu bergerak cergas di pinggir hutan di Batu 12, Gombak, sejak setahun lalu, tular.



Tidak putus-putus To'ki dikunjungi teman dan insan prihatin termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff dan penceramah popular, Ustaz Ebit Lew yang menghulurkan bantuan.

Namun, To'ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur, 53, memohon hanya kisah baik mengenai dirinya dikongsi, bukan cerita peribadi: "Usahlah ditanya berapa anak saya dan sebagainya. Jujurnya, tiada apa yang indah mengenai kehidupan saya ini untuk dikongsi bersama orang ramai kecuali rasa terharu atas keprihatinan semua," katanya.

Bagaimanapun, To'ki tidak pernah menyesal dengan jalan hidup dipilih, jauh sekali mengeluh. Malah, akui To'ki yang pernah mengungguli carta dengan lagu Biasan dan Seni Berzaman selain Naluri Cinta dendangan bersama Rohana Jalil, mengaku tenang dengan kehidupan sekarang.

Klik untuk gambar besar

"Apa yang saya mahu hanyalah hidup dalam ketenangan. Disebabkan itulah saya berada di sini. Saya mahu minta ampun daripada semua yang mengenali saya. Jika ada yang terguris hati melalui lagu atau karya yang saya cipta sepanjang saya hidup, tolong ampunkan dosa saya dan halalkan makan minum," tuturnya.

Bersyukur masih ada insan yang mengingati dan menyayangi dirinya, To'ki terharu menerima pelbagai sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada banyak pihak: "Andai kata ada sumbangan dan bantuan lebih diterima, saya akan kongsi bersama insan memerlukan. Seperti beras, daripada tidak termakan, ada yang saya kongsi bersama insan memerlukan," ujarnya.

To'ki tidak menyangka saban hari, semakin ramai yang tampil menghulurkan sumbangan: "Lebih membuatkan saya terharu apabila mendapat tahu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan hasrat untuk bertemu.


"Mungkin ini ganjaran Allah selepas setiap hari saya berdoa perkara positif. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa apabila ramai yang mula menghargai karya saya. Ini termasuk video perkongsian ilmu yang dimuat naik di Facebook meraih banyak tontonan," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, To'ki berat hati untuk berpindah kerana pondok itu menjadi tempat mencari ilham dan inspirasi dalam berkarya: "Pasukan saya akan mencari rumah berdekatan agar To'ki boleh kembali ke pondok pada bila-bila masa untuk berkarya," katanya yang memberi tempoh seminggu bagi mendapatkan rumah baharu untuk To'ki.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan menyediakan kelengkapan seperti peti sejuk, meja makan dan mesin basuh untuk pasangan itu. Bagi memudahkan To'ki untuk berulang-alik ke pondoknya, pihaknya membantu membiayai kos baik pulih kereta To'ki: "Kereta To'ki tersadai di bengkel kerana tidak ada wang untuk membayar kos pembaikan. Kami berjanji untuk membiayai kos itu bagi memudahkan beliau bergerak," katanya.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya juga menghadiahkan komputer riba kepada isteri To'ki yang aktif dalam bidang penulisan kreatif: "Melihat keadaan isteri To'ki yang ditimpa kemalangan, kami akan hadiahkan tongkat dan kerusi roda buatnya," katanya.





www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: