07 July 2020

NIKAH SABTU INI - LINDA EVA TAK KISAH TANGGAPAN ORANG SUAMI MUDA 10 TAHUN, HARAP KALI KEDUA KEKAL



Bekas anggota kumpulan Eva, Linda, 43, akan melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya Mohd Fairuz Ibrahim, 33, Sabtu ini di Putrajaya, selepas dua tahun bergelar ibu tunggal. Linda atau nama sebenar Norhaslinda Ishak yang juga ibu saudara penyanyi Aiman Tino berkata, dia dan bakal suaminya yang berstatus duda adalah kenalan lama.



"Perkenalan kami memang sudah lama. Walaupun beza usia kami 10 tahun, tetapi saya terima dia (Mohd Fairuz) kerana sikapnya yang matang, menghormati saya dan sangat memahami. Dia tahu minat saya pada nyanyian dan tidak pernah menghalang saya terus menyanyi.

"Dia juga sentiasa ada ketika saya dalam kesukaran. Paling utama saya akui perlukan pasangan untuk dijadikan teman yang boleh menjaga saya ketika sakit dan sebagainya. Apapun, saya anggap sudah jodoh kami untuk hidup bersama. Alhamdulillah, anak-anak juga tidak menghalang untuk saya berkahwin dan membina kebahagiaan semula," katanya.

Linda yang pernah popular dengan lagu Bulan Cinta bersama kumpulan Eva pada 1990-an lalu berkata, dia dan Mohd Fairuz saling menerima seadanya diri masing-masing: "Kami pernah ada sejarah gagal dalam rumah tangga terdahulu. Jadi, dengan keputusan untuk bernikah ini diharapkan kami mempetoleh kebahagiaan berkeluarga semula.

"Saya pun tak peduli tanggapan orang berkaitan jarak usia kami. Ini kerana, kami saling menyayangi dan yang penting saya tak ambil hak orang lain," ujar Linda yang turut berharap rumah tangga kali kedua akan dibinanya berkekalan sehingga ke akhir hayat dan dia yakin perkahwinan itu mendapat restu.

Linda pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan dikenali sebagai Hasbullah selama 20 tahun dan mereka bercerai pada September 2018. Hasil perkongsian hidup itu, Linda dan bekas suami dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Haziq, 20, yang juga bekas penyanyi Putera Band; Afrina, 16; Syuhadah, 15; dan Aliya, 10.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Linda Eva


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: