15 July 2020

PEMAIN DRAM, AMIRA LEBIH PUAS HATI BELI KARAVAN BERBANDING VELLFIRE



Pemain dram dan YouTuber, Nur Amira Syahira tidak berlumba-lumba membeli kereta mewah antaranya Vellfire seperti selebriti lain hasil pendapatan sebagai anak seni. Sebaliknya, Amira berpuas hati apabila berjaya memiliki sebuah karavan. Menurut Amira, 17, kenderaan tersebut memudahkan urusan hariannya dan praktikal digunakan memenuhi undangan persembahan di serata tempat.



"Sesetengah orang pilih nak bergaya dengan kereta mahal tapi saya ada karavan pun dan rasa bebas sebab dia macam rumah bergerak... tilam untuk tidur, dapur dan bilik air pun ada. Kalau ada persembahan atau rakaman vlog percutian di luar kawasan, tak perlu susah-susah nak cari hotel dan boleh tidur sahaja dalam karavan lebih jimat duit... nak bawa peralatan untuk persembahan pun senang.

"Bukan tak teringin nak ada kereta mahal lain tapi rasanya belum tiba masa lagi... kalau ada pendapatan lebih barulah boleh difikirkan, sekarang ini saya lebih selesa bergerak dengan karavan," katanya.

Klik untuk gambar besar

Sementara itu, bagi dekorasi dalaman karavan tersebut, Amira berkata kenderaan itu menerima pengubahsuaian mengikut citarasanya sendiri: "Saya memang dah lama minat karavan ini, jadi masa beli hujung tahun lalu, dalaman karavan ini kosong sahaja dan saya sendiri yang buat dekorasi mengikuti citarasa.

"Setiap bahagian dalam karavan itu ditambah berasingan... mujurlah saya ini memang minat bertukang dan buat kerja hias-hias, jadi tak ada masalah tentang hal itu. Kos keseluruhan dalam puluhan ribu ringgit tapi kegunaannya mampu bertahan lama dan sangat praktikal," ujarnya.


Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini, Amira atau nama sebenar Nur Amirah Syahira Azizul Abidin mengakui agak mencabar untuknya membahagikan masa antara pelajaran dan karier: "Kalau ikutkan struggle juga sebab nak bahagikan masa belajar dan kerja, tambahan pula SPM tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

"Pelajaran pun penting, jadi kena pandai bahagikan masa... tawaran kerja kalau bersesuaian saya akan terima memandangkan ini juga sumber pendapatan cuma mungkin kurangkan sikit untuk fokus belajar. Alhamdulillah buat masa ini tiada masalah dan semua urusan itu dipermudahkan," kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Untuk rekod, saluran YouTube miliknya iaitu Nur Amira Syahira memiliki hampir 2.3 juta pengikut (subsribers). Pada tahun lalu, dia diiktiraf YouTube menerusi Anugerah Gold Play Button selain dinobatkan sebagai YouTuber terbaik Asia.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Nur Amira Syahira


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: