27 August 2020

"ANAK PEREMPUAN BERSAMA SAYA, ANAK LELAKI MENETAP DENGAN BAPANYA" - SERINA REDA



"Hari ini mahkamah putuskan anak perempuan tinggal bersama saya. Anak lelaki (Tristan) pula menetap dengan bapanya. Memang sedih dan terkilan dengan keputusan ini... Kasihan anak terpisah.

"Biar apa pun, kita bersangka baik dengan Allah SWT. Apa yang diaturkan, itulah yang kita kena reda. Moga Allah SWT sentiasa pelihara Tristan dengan iman yang kuat dan berpegang kukuh pada agama Islam," demikianlah jelas pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan.

Selepas tiga tahun menanti, Serina akur dengan keputusan Mahkamah Syariah berhubung tuntutan penjagaan dua anak dengan bekas suami, yang diputuskan, semalam.

Anak kepada chef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan ini sedar terlalu banyak ujian, dugaan dan air mata tertumpah sejak dia dan bekas suami, Gavin Edward O'Luanaigh, bercerai.

Klik untuk gambar besar


Serina dan Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Tristan Tareef, dan Isabella Saffiya.

Serina berkata, apa yang pasti, dia akan sentiasa berada dengan anak-anak biarpun mereka terpisah. Selain itu, tambah Serina, sengketa antara dirinya dan suami diharap tidak berpanjangan


"Tidak guna hendak bergaduh dan berebut anak. Biar apa pun, anak adalah amanah yang perlu dijaga bersama. Hentikan dendam. Saya dan dia (bekas suami) kena fokus pada kasih sayang untuk kedua-dua anak kami," katanya.

Serina turut berterima kasih kepada bapanya yang terus memberi semangat dan kekuatan: "Terima kasih kepada pengurus dan teman artis seperti Ezlynn yang sudi temankan saya di Mahkamah Syariah, pagi tadi.

"Tidak terkecuali, peguam saya yang bekerja keras untuk mendapatkan penyelesaian terbaik. Terima kasih kepada keluarga, peminat dan semua pihak yang mendoakan," tuturnya.

 

 
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Serina Redzuawan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: