07 August 2020

COVER VERSI DAKWAH - THE TRUTH ENGGAN DIKENALI PENYANYI NASYID TIPIKAL



Enggan dikenali sebagai penyanyi nasyid tipikal, kumpulan duo The Truth yang dianggotai oleh Naufal Isa, 22 dan Irwan Fariz, 21, berpayung di bawah label Tarbiah Sentap Records kerana mahu menampilkan kelainan supaya menarik minat ramai.

The Truth menyifatkan, penubuhan kumpulan tersebut ditubuh atas objektif menyampaikan dakwah murni. Pada masa sama, duo nasyid ini juga optimis untuk menyampaikan mesej-mesej positif menerusi lagu, terus kepada halwa telinga pendengar.

"Kami lebih selesa dikenali sebagai kumpulan yang versatil. Kami mahu mencuba pelbagai genre, tetapi biarlah setiap lagu yang kami sampaikan mempunyai mesej, moral serta memberikan impak positif. Sebelum kami muncul dengan single sendiri, kami telah terlebih dahulu merakamkan lagu cover seperti Boy With Luv nyanyian BTS, Without Me nyanyian Halsey, Any Song nyanyian Zico dan banyak lagi.

"Tetapi semua lagu yang kami cover telah ditukarkan liriknya dalam bahasa Melayu dan kami berikan lirik yang positif. Kami enggan kelihatan tipikal dan mahu menarik minat orang ramai," kata Naufal. 

Klik untuk gambar besar


Menurut Irwan Fariz, seni yang mereka hasilkan ini adalah sebagai alternatif dalam penyampaian dakwah selain menerusi ceramah: "Selepas kami tamat pengajian, kami tercari-cari juga hala tuju hidup kami. Alhamdulillah bakat yang terpendam ketika itu adalah dengan menyanyi. Saya dengan dia (Naufal) memiliki chemistry yang agak kuat pada ketika itu.

"Jadi timbul idea untuk kami tubuhkan duo ini untuk sampaikan apa yang kami mampu. Kami mungkin tak mampu untuk beri ceramah sebab belum bersedia atau masih takut-takut lagi untuk menggunakan medium berkenaan. Jadi kami pilih untuk sampaikan mesej positif menerusi nyanyian. Kami pilih nama The Truth pun kerana ingin menyampaikan kebenaran," tuturnya.

Selepas mendapat banyak respon positif menerusi lagu cover yang mereka bawakan, kini The Truth sudah muncul dengan single perdana berjudul 'Cinta Sementara': "Alhamdulillah, semenjak ia dilancarkan pada 3 Julai yang lalu, lagu ini berjaya meraih hampir 450,000 tontonan di laman YouTube.


"Lagu ini membawa cerita mengenai manusia yang mengejar cinta dunia dan cinta manusia, sedangkan cinta itu hanyalah sementara kerana hanya cinta Allah yang hakiki," kata Irwan pula.

Sementara itu, pemilik label Tarbiah Sentap serta penulis novel terkenal, Ustaz Adnin Roslan berharap agar lagu 'Cinta Sementara' menjadi satu langkah mula yang baik: "Kami berharap permulaan ini dapat diterima baik oleh pendengar dan peminat. Semoga lebih banyak karya yang berunsur positif dapat kami hasilkan di masa akan datang, Insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, The Truth yang ditubuhkan sejak Januari 2019 itu turut mendedahkan, mereka sedar akan cabaran yang bakal mereka tumpuhi untuk bergelar penyanyi nasyid turutamanya untuk bersaing dengan genre-genre lain di media arus perdana.

"Kami percaya rezeki itu datang dari Allah SWT. Sudah jelas, cabaran yang sering dihadapi kebanyakan kumpulan nasyid adalah jemputan persembahan. Bagi kami pula, The Truth telah pun bersiap sedia dengan 'back up plan' iaitu kami turut jayakan projek dengan melancarkan produk sendiri," jelasnya.

Sementara itu, pengasas Tarbiah Sentap Record, Ahmad Adnin pula turut diminta mengulas mengenai kisah sensasi yang terpalit melibatkan pendakwah bebas kebelakangan ini. Pada pendapatnya, sesiapa sahaja yang terlibat dalam dunia seni tidak boleh elak daripada perkara tersebut, lebih-lebih lagi dengan perkembangan media sosial kini.

"Kalau nak diikutkan, bukan hanya mereka yang didakwa pendakwah sahaja yang ada isu. Malah, golongan artis arus perdana juga ada kisahnya yang tersendiri. Pada akhirnya bagi saya, bukannya isu masalah pendakwah atau artis arus perdana, akan tetapi ia berpunca daripada kita sendiri yang ada kelemahan dan kita bukanlah sempurna," ujarnya.

Terdahulu, The Truth telah pun mengeluarkan single pertama mereka berjudul 'Cinta Sementara' pada Julai dan kini telah pun meraih hampir 500,000 tontonan di Youtube.



www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Media Hiburan


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: