07 August 2020

TAK MALU FOTO LAMA DIKONGSIKAN KEMBALI - DAYANG TAKUT BUAT RAWATAN MUKA



"Saya tak pernah terfikir tentang rawatan pada bahagian muka sebab saya takut benda-benda macam-macam itu... takut perubahan itu tak menjadi dan hanya memberi kesan kekal. Tak beranilah... kalau boleh tak mahu, biarlah tua secara semulajadi dan terimalah seadanya, Alhamdulillah!

"Tetapi saya tak membantah orang yang mahu lakukan perubahan pada wajah mereka... kalau itu boleh buat mereka yakin, tak apa!" kata penyanyi Dayang Nurfaizah yang enggan melakukan perkara yang segelintir wanita memilih menjalani rawatan kosmetik atau pembedahan pada wajah untuk kelihatan awet muda.

Menurut Dayang, 39, dia tiada keberanian untuk melakukan sebarang perubahan pada bahagian wajah kerana bimbang kesan jangka panjang yang akan diterima kelak. Dayang ditemui semasa majlis pelantikannya sebagai duta untuk produk kosmetik, Bungaa yang diadakan di Hotel Royal Damansara, Petaling Jaya pada Khamis. 

Klik untuk gambar besar


Ditanya mengenai rahsia memiliki kulit wajah yang sihat dan cantik, penyanyi lagu 'X Missing U' ini memberitahu dia lebih menitikberatkan rutin penjagaan harian: "Semakin meningkat usia, saya lebih utamakan penjagaan wajah sebab bagi saya kalau kulit sihat, kita mekap sikit pun dah okay.

"Sebenarnya, saya dah biasa bermekap sejak zaman sekolah dan ketika itu kulit tak ada masalah... apabila menginjak dewasa muka rosak teruk sampai tengok diri sendiri pun sedih. Saya cari punca kenapa jadi begitu dan lama-lama kita mula tahu apa produk sesuai dengan muka, sekarang ini hanya lebihkan pada rutin penjagaan wajah sahajalah!" ujarnya.

Sementara itu, Dayang berkata kecantikan seseorang bukannya bergantung kepada warna kulit semata-mata, sebaliknya keyakinan diri menjadi faktor utama: "Cantik ini tak semestinya putih, warna kulit sama sekali tidak menentukan kecantikan seseorang kerana ia perkara subjektif.

"Bagi saya kecantikan itu apabila kita ada keyakinan, kalau kita tak yakin dengan diri itu yang akan buat kita rasa down dan rendah diri. Nak cantik tak perlu nak ubah-ubah pada wajah cuma kita perlu tambah seri sahaja. Kadang-kadang keunikan atau kelainan pada muka seseorang itu buat kita istimewa," tuturnya.

Ditanya mengenai apakah reaksinya apabila gaya dan penampilan pada awal penglibatan dalam seni dikongsikan kembali, bintang asal Sarawak ini positif dan menyifatkan ia suatu proses mematangkan diri: "Jujurnya saya gembira dengan apa yang telah saya lalui sejak awal penglibatan dalam seni hinggalah sekarang.

"Ada yang kata saya bermula dengan gaya yang pelik-pelik dari segi gaya rambut dan sebagainya. Akan tetapi itulah yang membuatkan saya tersenyum dan ia seterusnya membuatkan saya belajar, lebih kenal apa yang sesuai dan sebaliknya. Ia proses bagi saya juga. Saya tidak rasa malu. Itulah Dayang Nurfaizah," jelasnya yang kini lebih peka terhadap penampilan, khasnya terhadap kesihatan kulit dan dalaman.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Media Hiburan & Instagram Dayang Nurfaizah


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: