07 August 2020

"YA ALLAH SEMALAM SETAHUN ABAH PI... HARI INI MAK IKUT JEJAK" - EZAD LAZIM



Takziah kami ucapkan kepada penyanyi Ezad Lazim atas pemergian ibunya, Rosadah Jahaya, 69, yang meninggal dunia di rumah mereka di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, Kedah, kira-kira jam 6.30 pagi hari ini. Kakak kedua yang popular dengan lagu 'Jesnita' itu, Rozaimah Mohd Lazim berkata, ibu mereka rebah dalam bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh.

"Selepas selesai solat Subuh pagi tadi, saya dapat panggilan telefon daripada Kak Long beritahu Mak dah tak ada. Mak bangchik balik ni. Emak tiada apa-apa sakit dan kalau ada pun hanya darah tinggi tapi terkawal. Seperti biasa, pagi ini dia bangun untuk solat subuh.

Adik bongsu kami, Mohd Rizal ketika itu sedang solat dan terdengar namanya dipanggil oleh emak. Dia segera mendapatkan emak dan mendapati emak jatuh dan tidak sedarkan diri dalam bilik air. Dan selepas diperiksa, Mak sudah pergi meninggalkan kami," katanya.

Rozaimah yang bekerja di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kedah berkata, adiknya segera menghubungi doktor dan ambulans bagi mendapatkan bantuan: "Doktor yang tiba tak lama kemudian mengesahkan emak sudah tiada. Kami segera memaklumkan kepada Ezad dan dia kini dalam perjalanan pulang.

"Dia sempat balik menjenguk emak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat. Jenazah ibu akan dikebumikan sama tempat dengan arwah ayah iaitu di Tanah Perkuburan Taman Uda, Alor Setar selepas Asar," katanya.

Klik untuk gambar besar


Ezad ketika dihubungi berkata dia dan isteri serta anak-anak sedang dalam perjalanan pulang ke Alor Setar, Kedah. Tambah Ezad, kali terakhir dia bertemu ibu ialah beberapa selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu: "Mak datang rumah kami, katanya mahu melawat rumah baru kami," tuturnya sebak.

Dalam pada itu, Ezad mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan peminat yang menitipkan ucapan takziah: "Terima kasih kepada yang mendoakan dan menghantar ucapan takziah. Doakan perjalanan kami. Allahyarham akan dikebumikan sebaik sahaja kami tiba di Alor Setar," ujarnya.

Ezad berkongsi berita sedih tersebut di laman sosial Facebooknya yang turut memberitahu semalam genap setahun pemergian ayahnya iaitu Mohd Lazim Ismail yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usianya 74 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada 6 Ogos: "7/8/2020... Ya Allah kemarin (semalam) setahun Abah pi tinggai kami.. Hari ni Mak kesayangan ikut jejak, Al-Fatihah," tulisnya.

Rosadah meninggalkan empat anak iaitu Rozita, Rozaimah, Mohd Rohaizad dan Mohd Rizal serta 10 cucu dan seorang cicit yang bakal dilahirkan pada hujung bulan ini. Menerusi ruangan komen, teman-teman dan pengikut di laman sosial mengucapkan takziah disamping mendoakan perjalanan Ezad dan keluarga pulang ke Kedah dipermudahkan.

Al-Fatihah


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Astro Gempak


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: