02 August 2020

IMPIAN MUSNAH AKIBAT KEMALANGAN - RINA LEE BANGKIT TERUSKAN PERJUANGAN



Rina Lee, 36, yang diperkenalkan menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga dan berjaya hingga ke peringkat Prelude pada 2005 itu pernah berdepan dengan musibah buruk apabila mengalami kemalangan jalan raya pada 2008 dan belum pun sempat dikenali sebagai penyanyi.



Setahun kemudian, Rina atau nama sebenarnya, Hazrina Ilias melancarkan album penuh termasuk merakamkan semula lagu 'Mama Aku Ingin Pulang' yang pernah dipopularkan Allahyarham Nike Ardilla. Namun, malang tidak berbau, belum sempat mempromosikan album berkenaan, Rina mengalami kemalangan jalan raya.

Akibat kecelakaan itu, wajah Rina hancur sebelah kiri, patah tulang tangan kanan dan bahu. Mengimbas detik yang mengerikan, Rina berkata, tulang muka kirinya hancur dan diganti dengan plat besi.

"Dari Hospital Seri Manjung, saya dipindahkan ke Hospital Fatimah, Ipoh bagi menjalani rawatan surgeri pada muka dan tulang. Kulit muka daripada bahagian ubun-ubun terpaksa dibuka, manakala tulang muka kiri hancur disebabkan kemalangan ngeri ini.

"Saya mengambil masa lebih tiga tahun untuk pulih dari segi fizikal dan mental berikutan trauma dengan kemalangan. Walaupun kini pulih, parut masih kekal akibat kejadian yang berlaku kira-kira 12 tahun lalu," katanya.

Biarpun impiannya musnah berbelas-belas tahun lalu, Rina kembali memeriahkan industri muzik dengan mempertaruhkan single terbaharu berjudul Begini Aku ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan.

"Sudah lama saya mengimpikan dapat bekerjasama dengan Farouk dan Amylea. Saya yakin mereka selalu memberikan karya yang terbaik. Walaupun terpaksa menunggu lebih setahun mendapatkan lagu disebabkan mereka terlalu sibuk, saya tetap menanti. Akhirnya, single Begini Aku berjaya dirakamkan. Saya berpuas hati dengan hasil kerja mereka," ujarnya.

Enggan menoleh ke belakang, Rina berkata, dia ingin memberi inspirasi kepada pendengar agar tabah ketika diuji seperti yang pernah dilaluinya. Dalam pada itu, Rina turut aktif berkempen tentang isu penderaan yang berlaku pada wanita, apatah lagi banyak kes dilaporkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Diakui, single 'Begini Aku' mengaitkan isu keganasan rumah tangga di kalangan wanita: "Kaum wanita perlukan kasih sayang, perhatian dan perlindungan. Penderaan terhadap wanita bukan sahaja berbentuk fizikal, malah memberi kesan buruk kepada mental.

"Saya terkilan cara golongan muda melakukan 'provokasi' terhadap wanita dengan melakukan ujian sosial untuk meraih perhatian di platform media sosial. Wanita seharusnya disayangi, bukan disakiti," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Zulin Aziz


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: