27 August 2020

ISU CURANG - SYUK TAK BERENGGANG DENGAN ISTERI, CUBA PERTAHANKAN KELUARGA



Pengacara dan pelawak Shuk Sahar akhirnya tampil menjelaskan dakwaan berlaku curang terhadap isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah, selepas sekian lama mendiamkan diri.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 34, mengakui pernah mengenali wanita yang dikenali sebagai Fara Salleh dan isterinya mengetahui tentang perkara itu.

Menurut Shuk, dia dan isterinya sudah berbincang untuk tidak memberi sebarang kenyataan lebih lanjut lagi mengenai isu tersebut kerana fokus utamanya kini hanya keluarga serta kerjaya.

"Saya mengaku yang saya pernah kenal insan terbabit dan isteri pun mengetahui perkara itu. Sebenarnya masalah tersebut sudah lama selesaikan. Tapi saya tak tahu apa niat individu yang menyebarkan perkara itu.

"Saya pun dah berbincang dengan isteri dan ambil keputusan untuk tidak mengulas lebih lanjut. Apa yang berlaku sudah berlalu dan saya nak fokus kepada keluarga serta kerjaya sahaja sekarang ini," kata Shuk.

Sebelum ini, Shuk yang juga penyampai radio Hot FM itu didakwa berlaku curang dan mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Fara Salleh. Kisah tersebut menjadi tular pada awal Ogos lalu selepas seorang pengguna di Twitter mendedahkan beberapa bukti.

Klik untuk gambar besar


Malah individu tersebut juga membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap Shuk dan Fara. Dalam pada itu, anggota kumpulan lawak Balas ini menjelaskan dia mengambil keputusan untuk berdiam diri ketika itu kerana sedang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Shuk meluahkan rasa syukur kerana hubungannya dengan isteri sentiasa baik malah mereka tidak berenggang sepanjang kontroversi itu hangat diperkatakan.

"Ketika benda itu (isu curang) berlaku, saya dan isteri serta anak dalam perjalanan pulang ke kampung di Pulau Pinang untuk sambut hari raya sebab itu saya ambil keputusan untuk berdiam diri.

"Sepanjang waktu itu, isteri dan saya tak pernah berenggang dan Alhamdulillah, hubungan kami baik saja. Sebagai seorang lelaki, ketua keluarga dan suami... kita tak mungkin lari daripada buat kesilapan.

"Itu keluarga saya dan saya akan cuba pertahankan sampai bila-bila. Saya belajar daripada kesilapan dan akan lebih berhati-hati selepas ini," ujar Shuk yang mendirikan rumah tangga dengan Rossalennah Natassyiah Asshaferah pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: