19 August 2020

KAZAR IMBAS KENANGAN: "CUKUP BULAN DAPAT GAJI BARULAH DAPAT MAKAN MURTABAK..."



Pelakon Kazar atau nama sebenarnya Kazaruddin Saisi yang mula membina nama sebagai penyanyi itu ternyata masih bertahan sehingga kini setelah terjun ke bidang lakonan. Lagu nyanyiannya 'Memburu Impian' pernah menjadi lagu tema untuk filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986 yang menaikkan nama pelakon prolifik Faizal Hussein.

Dengan puluhan filem dan ratusan drama yang dilakonkannya, Kazar mempunyai pelbagai kisah yang sering dikongsinya di media sosial terutama di Instagram miliknya. Biarpun agak jarang mendapat perhatian media, Kazar tetap menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama tempatan.

Dalam satu entri di Instagram miliknya, Kazar mengimbas kembali kenangan ketika dia bekerja sebagai budak pejabat lebih 40 tahun dulu: "Sedar-sedar dah lebih 40 tahun berlalu. Dulu itulah laluan harianku semasa menjadi office boy yang berjalan kaki menghantar surat kesemua bank-bank di sekitar Leboh Ampang... Jalan melaka dan Benteng.

Klik untuk gambar besar


"Gaji $100 sebulan. Cukup bulan dapat gaji barulah dapat makan murtabak di gerai Benteng. Masa tu masih ada nasi lemak 20 sen di meja kaki lima bangunan," tulis Kazar menerusi Instagram yang mengimbas kembali kenangan.

Kazar turut berpesan kepada anak-anak muda sekarang supaya perbanyakkan bersyukur kerana dilahirkan di zaman sekarang apabila mudah mendapat apa sahaja yang diinginkan daripada ibu bapa masing-masing: "Kepada anak-anak muda zaman now. Perbanyakkanlah bersyukur kerana kamu lahir dizaman umur 8 tahun mak ayah dah bagi motor untuk merempit," tegur Kazar dalam nada sedikit berseloroh.

Pelakon yang kini berumur 61 tahun berkahwin dengan Rashidah Latiff dan mempunyai lima orang cahaya mata. Kazar pernah memenangi Anugerah Lawak Warna 2014 dan Anugerah Sri Angkasa pada tahun 2016, kedua-duanya untuk anugerah Pelakon Komedi Lelaki Terbaik TV.



www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Kazar


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: