05 August 2020

PENGSAN SEMASA IG LIVE - ANAK KEDUA JAMAL ABDILLAH TUNGGU UJIAN DARAH



Ketika sedang membuat siaran langsung di Instagram (IG live) pada Isnin lalu, anak kedua kepada penyanyi Datuk Jamal Abdillah iaitu Zaki Yamani tiba-tiba jatuh pengsan dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam. Ibunya, Fatimatuzahra Samat, 39, berkata, penyanyi remaja berusia 14 tahun itu menghidap asma dan mengadu sesak nafas serta batuk sejak beberapa hari lalu.



"Masa tu dia memang sudah mengadu tak berapa sihat... dia batuk dan semput. Saya pun masa tu sedang bersiap untuk hantar dia ke klinik dan tak perasan yang dia buat IG live. Bila saya cari dia tengok-tengok dia dah jatuh dah. Saya sempat save IG live tu untuk tengok balik apa yang terjadi," katanya.

Menurut Fatimatuzahra, Zaki atau nama sebenar Ahmad Zaki Yamani tidak melakukan sebarang aktiviti lasak sebelum kejadian berlaku. Tambahnya, walaupun menghidap asma sejak berusia lapan bulan, ini merupakan kali pertama anaknya itu pengsan.

"Dia tak ada buat aktiviti lasak sangat pun sebelum itu, dia cuma buat content YouTube dan Instagram dia. Dia memang sejak kecil ada asma tapi tak pernah sampai pengsan macam ni. Ini kali pertama, mungkin dia terlalu penat. Terkejut juga saya bila dia pengsan sebab tak pernah terjadi macam ni," ujarnya.

Klik untuk gambar besar

Fatimatuzahra berkata, Zaki kini berada dalam keadaan stabil dan sudah mula bertenaga untuk bangun dan bercakap. Dia masih menunggu keputusan ujian darah selepas dibimbangi terdapat jangkitan kuman dalam darah anaknya.

"Sekarang ni kami tengah tunggu keputusan ujian darah. Doktor bimbang ada jangkitan dalam darahnya. Doktor pun ada sebut semalam yang bacaan darah Zaki sedikit tinggi sebab tu dia terus dimasukkan ke wad. Tapi saya rasa dia okey tu, sebab dia dah ada tenaga untuk bangun dan bercakap," jelasnya.

Untuk makluman, Zaki merupakan anak Jamal menerusi perkahwinannya bersama Fatimatuzahra pada Disember 2005 dan bercerai pada 15 Mei 2007.




www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: