08 August 2020

SEHARI SEBELUM AIDILADHA - PENYANYI 'MARILAH MENGUNDI' DISERANG STROK



Penyanyi veteran era 1960-an, Rocky Din atau nama sebenarnya Mohd Hashim Shariff, 70, yang terkenal dengan lagu 'Marilah Mengundi' diserang strok sehari sebelum Aidiladha hingga menyebabkan terlantar dan tidak mampu berjalan. Sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan mendorong Rocky Din untuk sembuh daripada penyakit strok.

Isterinya, Haslina Hassan, 63, berkata sebelum kejadian suaminya mengadu pening kepala ketika keluar membeli roti dan singgah di klinik untuk mengambil ubat sebelum pulang ke rumah mereka di Teluk Air Tawar dekat sini.

"Semasa pemeriksaan di klinik mendapati darah tinggi suami naik dan dia diberikan ubat. Tidak sangka ketika berehat di rumah, semasa bangun dari tidur, sebelah anggota badannya di bahagian kanan tidak mampu bergerak lalu dibawa ke hospital sebelum doktor memaklumkan suami menghidap strok," katanya.

Haslina berkata, dia tabah menghadapi ujian itu yang kali pertama berlaku sejak mendirikan rumahtangga: "Memang tidak percaya kerana keadaan suami sangat baik dan dia banyak dijemput menjadi penyanyi di majlis walaupun ketika usianya sudah lanjut. Saya anggap ini adalah cara untuk saya mengumpul pahala menjaga suami sakit dan menguatkan segala mental dan fizikal," tuturnya.

Menurutnya, dia yakin suaminya dapat kembali sembuh seperti biasa selepas melihat keadaan kesihatan Rocky yang bertambah baik: "Ramai sangat artis lama, peminat serta rakan-rakannya tidak putus-putus datang memberi sokongan kepadanya yang ia menjadi penguat semangat untuknya sembuh. Buat masa ini, saya sedang mencari rawatan fisioterapi yang boleh dijalani suami supaya penyakitnya dapat diubati," katanya.

Untuk makluman, Rocky Din popular dengan lagu 'Marilah Mengundi' sejak tahun 1978 dan masih lagi berkumandang sehingga ke hari ini terutamanya ketika musim pilihan raya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: