06 September 2020

AL-FATIHAH - ZULKIFLI ZAIN KEMBALI KE RAHMATULLAH



Suami kepada pelakon Datin Normala Omar dan bapa kepada pensyarah serta aktres Dr. Norzizi Zulkifli iaitu pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain telah meninggal dunia pada usia 76 tahun di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah kegagalan buah pinggang kira-kira pukul 7.30 malam, Sabtu.

Berita pemergian bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu disahkan anak sulungnya. Menurut Norzizi, jenazah bapanya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, pada Ahad selepas solat zohor.

"Ya... bapa saya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Dia meninggal dunia di rumah akibat komplikasi banyak penyakit.

"InsyaAllah, esok (Ahad) sekitar pukul 9 pagi jenazah akan dibawa ke masjid untuk dimandikan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat zohor," kata Norzizi.

"Memang sejak seminggu ini keadaan kesihatan arwah semakin merosot. Makan pun tiada selera. Selalu kalau saya dukung dia, badan dia boleh bergerak, tapi kali ini sangat lemah. Kalau bercakap dengan dia pun, tidak ada tindak balas diterima.

Klik untuk gambar besar


"Hanya saya dan adik, Norzazleen sempat berada di sisinya pada saat akhir. Arwah pergi dalam keadaan mengejut tapi cukup tenang. Sejujurnya, sampai saat ini saya macam tak percaya yang dia sudah tiada," kata Norzizi.

Sekitar Mac lalu, pelakon filem 'Permintaan Terakhir' dan 'Tiada Esok Bagimu' itu berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Zulkifli dikejarkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang pada 7 Mac lalu.

Pada 15 Mac lalu, kesihatan bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu dilaporkan merosot hingga kurang memberikan respon dan ada ketika, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Zizi, bapanya dijangka menerima satu anugerah dari UiTM pada Khamis ini sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang seni namun tidak kesampaian.


Bercerita mengenai apa-apa hajat yang tidak kesampaian ujar Zizi, ayahnya mengidam untuk makan mi kari pada minggu lalu namun Zizi tidak sempat menyediakannya dan bercadang memenuhi permintaan itu minggu ini namun tidak berjaya selain arwah juga sukar untuk menjamah makanan.

Beberapa bulan lalu kata Zizi, arwah kerap bertanya bilakah Zizi akan bergelar Profesor Madya dan dia berhasrat untuk memenuhi permintaan bapamya itu.

"Arwah selalu tanya bila Zizi nak bergelar Profesor Madya dan sekarang ni Zizi tengah berusaha ke arah itu. InsyaAllah, Zizi akan penuhi impian arwah ayah nanti," ujarnya yang reda dengan kehilangan bapannya.

Untuk makluman, Zulkifli pernah diserang angin ahmar pada 2016. Bertemu jodoh dengan Normala yang juga pelakon drama 'Opah' sekitar 1975, pasangan bahagia itu dikurniakan lima cahaya mata.


Selain Norzizi, Allahyarham juga mempunyai empat orang anak lagi iaitu Norzaza, 38, Norzazila, 36, Norzazleen, 33, dan Mohd Noor Zabaiq, 29, dan memiliki tujuh orang cucu.

Pada sekitar era 1970an dan 1980an, Zulkifli yang berasal dari Alor Setar, Kedah diingati dengan watak Bentayan menerusi drama 'Tregedi Seri Mersing' selain pernah membintangi filem 'Jiwa Remaja, Potret Maria, Penentuan' dan banyak lagi.

Atas sumbangan pada karier seni yang diceburi, Zulkifli dianugerahkan darjah kebesaran bergelar Datuk oleh kerajaan negeri Kedah.

Antara rakan artis yang hadir melawat jenazah Allahyarham ialah Datuk Yusof Haslam, Hail Amir, Dr. Sam, Mat Over dan Eman Manan.





www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Berita Harian & Instagram Dr Norzizi Zulkifli

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: