28 September 2020

ATAS TUDUHAN MILIKI PRODUK TANPA KELULUSAN KKM - ANAK PELAKON DIDENDA RM10,000



Hari ini di Mahkamah Majistret, seorang selebriti Instafamous didenda RM10,000 atas tuduhan memiliki produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu ke atas Rose Azlin Rosli, 46, yang juga anak kepada pelakon veteran, selepas beliau mengaku bersalah. Rose Azlin, pemilik jenama KM Beauty House yang tidak diwakili peguam, membayar denda berkenaan.

Terdahulu, anak kepada pelakon Normah Damanhuri itu dalam rayuannya meminta hukuman dikurangkan kerana kejadian berlaku ketika dia sedang mendapatkan kelulusan daripada KKM.

Klik untuk gambar besar


Pegawai Pendakwa Mohd Helmi Azman daripada KKM bagaimanapun meminta Azlin dijatuhi hukuman setimpal, lapor Harian Metro. Mengikut pertuduhan, Azlin didakwa memiliki 99 paket produk KM Sampah Cleanse.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 11.20 pagi, 21 Januari lalu di sebuah premis di Subang Jaya. Azlin dituduh melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 30(1), peraturan yang sama.

Mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: