05 September 2020

"BANGUNAN DIBINA ATAS ORANG" - PEMILIK TAMPIL BERI PERJELASAN BERHUBUNG TAHFIZ AARON AZIZ



Sebelum ini, pelakon Aaron Aziz telah berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan satu bangunan yang telah dipecahkan dinding dengan keadaan berterabur. Aaron turut meluahkan rasa sedih apabila pusat tahfiz miliknya di Pulau Langkawi, Kedah terpaksa dirobohkan tidak dijelaskan situasi sebenar yang terjadi.

Terkini, seorang wanita tampil memberikan penjelasan mengenai isu pusat tahfiz dirobohkan. Ketika dihubungi, wanita bernama Fosiyah Md Din, 62, mendakwa tanah itu merupakan milik adik beradiknya dan kini dalam proses untuk pembahagian supaya setiap seorang mendapat hak masing-masing.

"Tanah tu dibahagikan kepada tujuh orang adik beradik. Kami dalam proses untuk pecah bahagian supaya dapat seorang satu geran. Kami dah buat pengukuran tanah. Bahagian abang saya untuk wakaf itu diberikan kepada pihak terbabit untuk dibuat tahfiz. Bangunan itu sebenarnya sudah dibina atas jalan.

"Kami dapat surat dari pejabat tanah yang permohonan untuk mendapatkan geran tidak diluluskan sebab ada pembinaan yang dilakukan atas jalan. Saya dah bagitahu tiga kali dekat pihak terbabit untuk tidak melakukan apa-apa pembinaan atas jalan, tetapi mereka degil. 

Klik untuk gambar besar


"Dah empat tahun kami memohon geran untuk pembahagian tanah tapi masih tidak diluluskan. Saya minta diruntuhkan kalau nak dapat geran untuk tanah yang diwakafkan itu. Kalau tak buat, memang tak dapat kelulusan daripada pejabat tanah," dakwanya.

Tegas Fosiyah lagi, bukan keseluruhan tahfiz itu dirobohkan, tetapi hanya bangunan yang dibina atas jalan sahaja: "Bangunan yang diruntuhkan hanya bahagian yang dibina atas jalan sahaja, bukan keseluruhannya. Bukan saya sendiri runtuhkan, tapi ia mengikut ukuran yang telah diberikan oleh pejabat tanah," dakwanya lagi.

Dalam pada itu, dakwa Fosiyah lagi, tanah itu milik abang sulungnya dan tahfiz itu masih belum ada permit: "Kalau diikutkan tahfiz itu tidak sah. Tanah itu pemiliknya adalah abang saya yang sulung.


"Pada Rabu lalu, baru saya tahu bila keluar berita mengenai Aaron kesal kerana tahfiz dirobohkan. Ramai netizen yang kecam kami tanpa mengetahui cerita yang sebenar.

"Tahfiz itu tak ada permit. Geran tanah pun belum dapat sebab ada bangunan atas jalan.Geran yang yang ada sekarang terkandung nama kami semua tujuh adik beradik, geran yang tertulis atas nama setiap seorang masih tak dapat lagi.

"Tapi kami sebagai tuan tanah tak akan berundur. Bangunan itu dirobohkan untuk kami dapat geran. Kalau tak, sampai bila-bila pun kami tak dapat. Anak-anak kami nanti apa cerita? Kami semua dah tua, kenalah fikir masa depan pewaris kami," katanya mengakhiri perbualan.

Sementara itu, Aaron telah dihubungi bagi memberi perjelasan namun pelakon itu enggan memberikan komen lanjut mengenai perkara ini.





www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Aaron Aziz

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: