27 September 2020

SEBULAN LEBIH PEMUDA CEDERA KEMALANGAN KERJA - ERMA FATIMA GEMBIRA & PUAS HATI



Masihkah anda ingat lagi sekitar bulan Jun lalu dimana seorang pemuda yang sanggup menghadiri temuduga kerja di syarikat pengarah dan pelakon Erma Fatima meskipun sedang menahan sakit akibat kemalangan motosikal selepas dilanggar lari ketika dalam perjalanan untuk menghadiri temuduga kerja dengannya.

Dek kerana itu, Erma yang memuat naik mengenai kisah pilu di laman Instagram miliknya itu telah memuji kecekalan dan semangat yang ditunjukkan oleh pemuda tersebut yang mengalami patah tulang rusuk dan memerlukan masa untuk sembuh.

Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, Erma memberitahu dia bersetuju menerima calon tersebut sebagai pekerja dan sanggup menunggu pemuda itu sehingga benar-benar sembuh daripada kecederaan.

Terkini, Erma setakat ini berpuas hati dengan mutu kerja diberikan pemuda dikenali Ahmad Muzammil Mohd Haflan, 33, yang kini lebih sebulan berkhidmat di syarikatnya.

"Alhamdulillah, dah lebih sebulan pun dia (Ahmad Muzammil) bekerja dengan saya. Syukur, niatnya memang murni dan dia betul-betul perlukan kerja dimohon.

Klik untuk gambar besar 

 

"Saya gembira dan puas hati dengan hasil kerjanya di bahagian video. Cuma, saya takkan lupa keadaan dia ketika datang untuk menghadiri sesi temuduga berkenaan.

"Saya amat terkejut sewaktu melihat dia datang dengan keadaan berlumuran darah, begitu juga resume diberikan kepada saya. Puas saya pujuk dia, suruh ke klinik dapatkan rawatan dahulu.

"Katanya, dia perlukan sangat kerja dan akan ke klinik selepas selesai sesi temuduga. Alhamdulillah, dia memang saya lihat bekerja dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Erma ditemui baru- baru ini berkata dia sudah pun mengotakan janji kepada pemuda itu untuk menawarkan kerja bersesuaian di syarikatnya mengikut kelayakan dimiliki.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: