26 September 2020

HIDAP BARAH USUS TAHAP 4 - PAK LAH CECUPAK BERSYUKUR PENDERITAAN DAPAT PERHATIAN



Menghidap penyakit barah usus tahap empat, pelawak dan pelakon Pak Lah Cecupak mengakui bersyukur apabila penderitaan ditanggung mendapat perhatian ramai pihak.

Menerusi akaun media sosialnya, Pak Lah atau nama sebenarnya Nur Affendi Nurdin yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang terbabit membantunya.

"Assalamualaikum saya tujukan khas kepada seluruh rakyat Malaysia yang disayangi, keluarga, adik-beradik, saudara-mara, sahabat handai, kawan jauh dekat, rakan seni yang dihormati, Persatuan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Persatuan Seniman dan Music Author Copyright Protection (MACP).

"Di sini dengan penuh perasaan ikhlas saya ingin melahirkan rasa kesyukuran diatas keprihatinan bantuan daripada seluruh rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menghulurkan sumbangan demi meringankan beban kos perubatan saya yang mengalami kanser usus tahap empat.

"Semoga Allah merahmati kita semua serta sentiasa diberi kesihatan yang sempurna, ceria diberkati dan dilimpahi rezeki selalu. Amin ya Allah," tulisnya.

Selain menyanyi dan berlawak, Pak Lah juga aktif mencipta lagu serta menulis lirik untuk lagu tradisional dan lagu rakyat dalam loghat Perak.

Antara lagu popularnya ialah Joget Toleh Menoleh nyanyian kumpulan Senario. Pak Lah yang berasal dari Perak kini kehilangan sumber pendapatan akibat penyakit yang dideritainya.

Dia sudah menjalani pembedahan dan kini dijaga oleh isterinya yang tidak bekerja bagi memberikan tumpuan menjaganya, selain mencari pekerjaan yang sesuai.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: