04 September 2020

KEMBALI AKTIF SELEPAS 3 TAHUN - TASHA MANSHAHAR PILIH FASA LEBIH SESUAI, BUKAN MENYANYI



Penyanyi Tasha Manshahar memberitahu dia enggan meneruskan kariernya dalam bidang nyanyian, biarpun sudah mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam industri seni selepas hampir tiga tahun menyepi.

Menurut Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 28, dia mahu menceburi bidang yang bersesuaian dengan personaliti dan imejnya sebagai seorang guru, ibu dan isteri.

"Lebih kurang tiga tahun juga saya tidak aktif dan Alhamdulillah... kehidupan kini semakin stabil. Emosi, fizikal dan mental saya pun dah okey. Sebab itu saya ambil keputusan untuk kembali bergiat aktif.

"Mungkin sebelum ini, usia saya masih muda dan macam-macam yang berlaku ketika itu sebab itu saya ambil masa untuk berehat dan belajar menjadi orang yang lebih baik.

Klik untuk gambar besar


"Cuma, saya tidak akan menyanyi semula tapi mungkin saya akan lebih aktif dalam bidang yang bersesuaian dengan personaliti dan imej saya sekarang. Saya pun memang tiada perancangan untuk kembali menyanyi.

"Mungkin kalau menjadi pengacara, saya akan buat. Saya rasa dah tiba masa untuk saya pergi ke fasa yang lebih sesuai dengan karekter saya sebagai seorang guru, ibu dan isteri," kata Tasha.

Tasha sah bergelar isteri kepada penyanyi Raqib Majid dengan sekali lafaz di Masjid Jamek Kajang pada 8 September 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Muammar Rafiqi yang kini berusia setahun.


Penyanyi yang terkenal menerusi lagu 'Terima Kasih Cinta' itu memulakan tugasnya sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah di Melaka pada 2016. Dalam pada itu, Tasha menegaskan dia mengambil keputusan untuk memakai niqab sebelum ini disebabkan mahu mendapatkan privasi ketika memulakan kerjayanya sebagai guru.

"Saya tak pernah kata yang saya akan bawa imej wanita berpurdah sepenuhnya. Cuma sebelum ini saya pakai purdah sebab waktu itu saya baru bertugas menjadi guru di Melaka dan dalam pada masa yang sama, ramai yang mengenali saya. Jadi, saya rasa itu salah satu cara untuk saya dapatkan privasi bila nak ke mana-mana.

"Tapi untuk bawa imej berpurdah, saya belum lagi sampai ke tahap itu. Sekarang ini, saya dah yakin sebab dah biasa dengan orang sekeliling. Saya dah pilih circle mana yang saya nak duduk, jadi saya rasa selamat dan buat apa yang wajib dan perlu untuk sentiasa rasa selamat," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Tasha Manshahar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: