20 September 2020

LEFTHANDED: "NAK TERUSKAN JUGA, CUBALAH... BIARLAH MAHKAMAH YANG MENENTUKANNYA"



Isu tidak puas hati terhadap kumpulan rock Lefthanded, anggota kumpulan tersebut, Datuk Nash dan Man Kidal menyerahkan kepada pemain bass mereka, Yan sekiranya mahu membawanya ke mahkamah.

Perkara ini dibangkitkan Yan baru-baru ini berikutan dirinya disisihkan dari empat konsert membabitkan Lefthanded, selain lagu-lagu ciptaannya dimainkan Lefthanded dalam konsert terbabit.

Man Kidal yang juga pemain gitar berkata, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Namun, sekiranya berlaku perlu juga mempertahankan diri.

"Ia bukan masalah kerana kami pernah bersama. Penyanyi lain pun ada menyanyikan lagu penyanyi lain. Ada benda yang tak betul sebenarnya. Dalam dunia ini sesiapa sahaja boleh memainkan lagu bukan ciptaannya. Dia berhak tapi saya juga ada peranan terhadap lagu-lagu ini.

"Namun, sekiranya dia nak teruskan juga, cubalah dan kami terima kerana kami ada alasannya. Biarlah mahkamah yang menentukannya," katanya yang ditemui pada Majlis Doa Selamat & Tahlil Sempena Ulang Tahun 40 Tahun Lefthanded (Projek G.I.L.A Lefthanded 40 Tahun) di Panggung Asia, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Man berkata, jika ditakdirkan perkara ini berlarutan sehingga ke mahkamah, mereka lebih selesa bercerita dalam mahkamah berbanding berkongsi dengan orang luar.

"Saya minta ampun dan maaf kerana tak nak besarkan perkara ini. Saya hanya mendengar khabar angin kerana tiada masa nak ambil tahu. Saya sibuk dengan urusan berkaitan Projek G.I.LA Lefthanded.

"Ia hanya akan merosakkan hati kita kerana tak habis-habis nak berlawan. Ini soal keluarga kita. Bukan bermakna kita diam kita salah. Saya tak nak mengaitkan satu sama lain hingga mendatangkan fitnah. Saya tak nak ungkit perkara ini. Bagi saya ia mendatangkan dosa. Jangan keruhkan keadaan," katanya.

Menurutnya, ada sebab dia tidak mahu menjawab setiap persoalan yang pernah dibangkitkan Yan: "Kami sudah kenal lama sebagai satu keluarga. Tak bagus kami nak tunjukkan masalah dalaman kepada peminat di luar. Kami tetap ingat jasanya. Ia seperti masalah rumah tangga yang apabila tak boleh bersama, kena berpisah bawa haluan.

"Saya tak nak ceritakan punca kerana kalau ditakdirkan Allah, kita akan rujuk balik. Dalam masalah ini kami buat keputusan tapi Allah yang menentukan jadi atau tidak. Kalau tak jadi, tak jadi juga," katanya.

Lefthanded kini merekrut anggota baru yang terdiri daripada pemuzik berpengalaman seperti Rio Rasul (keyboard), Ritz (gitar) dan Fly Halizor (bass) yang dikenali sebagai Lefthanded 2020.

"Mereka ini pernah beraksi dengan Datuk Ramli Sarip. Walaupun pandangan orang nampak saya macam berpuak, saya sebenarnya nak bekerjasama sebagai satu keluarga," katanya.

Sementara itu, penyanyi Lefthanded, Nash tidak mahu isu ini mengganggu persiapan mereka yang akan mengadakan konsert di 10 lokasi seluruh negara.

"Man sudah rancang program ini sejak lima tahun lalu. Dalam jangka masa lima tahun itu, sudah tentu kami ada rundingan dan pujukan. Apabila nampak tiada satu kata putus, jadi kami kena kena teruskan dan tak boleh tunggu.

"Pada saya Lefthanded 2020 adalah yang menepati cita rasa. Saya dan Man Kidal yang mengindahkan muzik ini untuk kita ketengahkan. Takkan nak kerja dengan orang yang tiada keserasian.

"Tiga anggota yang dimasukkan adalah pemuzik profesional. Kita tak nak menunggu kerana sudah duduk dengan dia dan tiada keputusan. Apapun saya tak nak cerita lebih lanjut kerana kami kami ibarat mempunyai pertalian darah," katanya.

Menurut Nash, dia pernah berundur diri dari Lefthanded. Begitu juga Man, namun mereka tidak mengambil pendekatan bermusuh dengan anggota lain.

Projek G.I.L.A adalah singkatan daripada Gerakan Ilmu Laksana Agenda. Ia akan berlangsung tahun depan sempena meraikan 40 tahun pembabitan Lefthanded di dalam industri muzik tanah air.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: